suria

Devan Puji Kesungguhan Pemain Kutip Tiga Mata

KOTA BAHARU: Selepas sekadar seri dengan Perak pada perlawanan pembukaan Liga Super, para pemain Kelantan mempamerkan komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan sulung menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi di tempat sendiri malam Selasa.

Ketua jurulatih Kelantan K. Devan berkata para pemainnya telah menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan prestasi bagi menewaskan PDRM 1-0 dalam saingan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.

"Para pemain menunjukkan peningkatan prestasi berbanding perlawanan pertama menentang Perak di Stadium Ipoh pada 13 Feb lepas yang berkesudahan 0-0," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berharap mereka akan terus meningkatkan prestasi dan kecergasan untuk meraih kemenangan pada perlawanan akan datang.

Katanya barisan hadapan skuad Kelantan terutama pada posisi sayap banyak membuat hantaran silang bagi membuka peluang untuk memecah benteng pertahanan PDRM.

Sementara itu, jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus berkata percaturan taktikal oleh Devan telah memberi tekanan kepada anak-anak buahnya.

"Mereka (pemain PDRM) berusaha sehingga minit-minit akhir perlawanan untuk mencari gol penyamaan walaupun ketinggalan.

"Kami mempunyai sedikit masalah kesefahaman pada bahagian tengah dan penyerang yang menyukarkan kita untuk menjaringkan gol pada perlawanan ini (malam tadi)," katanya.

Beliau akan menerapkan strategi baharu untuk pasukannya menghadapi perlawanan seterusnya.

Gol tunggal Kelantan itu dijaringkan oleh pemain import Dramane Traore pada minit ke-64.

Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain