suria

Kedah Berdepan Masalah Penyudah Tumpul

PENGENDALI skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe mengakui anak didiknya masih gagal menyelesaikan masalah penyudah walapun mendapat peluang keemasan dalam perlawanan bertemu Terengganu pada malam Selasa.

Bagaimanapun Cheng Hoe masih boleh menarik nafas lega apabila Kedah berjaya memngutip tiga mata penuh di Stadium Darulaman, sekaligus mengubah kedudukan tercorot dalam Liga Super akibat tewas perlawanan pertama.

"Masalah yang kita hadapi sejak perlawanan pertama iaitu penyudah yang tidak baik masih berterusan.

"Pemain masih gagal memanfaatkan peluang terbuka di depan gol. Ada tiga peluang untuk kita dapatkan jaringan.

"Tetapi, hasil usaha keras pemain, Carlos Kahe berjaya mendapatkan gol tunggal. Jaringan itu membawa mata penting untuk Kedah dalam perlawanan ini.

"Tidak kira bagaimana kita menjaringkan gol, yang penting ialah jaringan itu memisahkan di antara pemenang dan yang kalah. Kemenangan ini pasti akan menambah keyakinan pemain untuk berdepan lawan Jumaat ini (saingan Piala FA)," katanya kepada mStar Online.

Dalam perlawanan kedua saingan Liga Super itu, Kedah memperolehi jaringan menerusi penyerang import dari Brazil, Carlos Kahe pada minit ke-39.

Terengganu yang mengalami kekalahan pertama bagaimanapun turut melakukan asakkan ke kubu tuan rumah untuk menyamakan kedudukan.

Cheng Hoe menambah, masa yang singkat sebelum saingan Piala FA pada Jumaat akan digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki masalah penyudah dan persefahaman di kalangan pemain.

"Segala kelemahan akan diperbaiki secepat mungkin walaupun ia memerlukan masa," jelasnya.

Perlawanan pertama Kedah di Stadium Darulaman bagi Liga Malaysia musim ini dihadiri oleh seramai 24,000 penyokong selepas menerima tiket percuma daripada kerajaan negeri.

Tiket percuma yang merupakan hadiah kerajaan negeri kepada penyokong bola sepak itu diedarkan di kaunter tiket stadium berkenaan bermula pagi Selasa.

Kedah, Helang Merah, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain