suria

Liga Super: Rajagobal Yakin Sarawak Boleh Bangkit

Pemain Sarawak J.Partiban diasak pemain Felda United Adib Aizuddin pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Selasa malam. Foto: Bernama

KUCHING: Jurulatih Sarawak Datuk K. Rajagobal yakin pasukan bimbingannya akan bangkit dalam perlawanan akan datang selepas mengalami dua kekalahan awal dalam Liga Super.

Pada Sabtu lepas Sarawak kalah tipis 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 1-2 kepada Felda United di Stadium Negeri, Petra Jaya Selasa malam yang meletakkan Sarawak di kedudukan terbawah Liga Super tanpa mengutip sebarang mata.

Katanya, peminat-peminat perlu berikan masa dan ruang kepada para pemain kerana pasukannya baru sahaja bermain dua perlawanan.

"Perjalan kita masih jauh dan saya yakin para pemain akan sedar dan akan bangkit dalam perlawanan-perlawanan akan datang. Saya telah melalui situasi macam ini tetapi dalam masa yang sama kita perlu bangkit. Kita akan lihat dalam lima atau enam perlawanan kedudukan kita sama boleh atau tidak kita bangkit," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu tidak bersetuju dengan pendapat barisan pemain penyerangnya tidak berupaya menjaringkan gol.

"Kita tunggu perlawanan akan datang untuk melihat keberkesanan penyerang kita sementara peminat perlu juga faham kita hanya mempunyai seorang penyerang yang bermain malam ini (malam tadi), iaitu Gilmar Jose (dari Brazil) manakala seorang lagi penyerang kita Makeche Ndumba (dari Australia) baru sahaja pulih daripada kecederaan dan dimasukkan pada babak kedua," kata beliau.

Katanya, beliau bukan sahaja memberi tumpuan kepada bahagian serangan tetapi memberi tumpuan kepada semua posisi di dalam pasukannya.

Mengulas kekalahan Sarawak kepada Felda United, Rajagobal berkata pada keseluruhan pemain-pemainnya memberi persembahan lebih bertenaga berbanding ketika perlawanan menentang PDRM.

Katanya, Sarawak bermain lebih baik daripada pasukan lawan dengan serangan bertali arus serta mencipta banyak peluang tetapi gagal diterjemah kepada jaringan gol. -Bernama

Rajagobal, Sarawak, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain