suria

Isu Tunggakan Gaji: Periksa Kewangan Sebelum Buat Tawaran - Khairy

Khairy (dua kanan) bersama Josiah Ng, Ketua Pegawai Eksekutif eSolved MSC Sdn Bhd Charles Tang dan Ernie Tang (kiri) menunjukkan aplikasi Fitness In My Pocket yang dilancarkan pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia dinasihatkan supaya memeriksa kantung kewangan sebelum membuat tawaran mewah kepada pemain bagi mengelak berlaku tunggakan gaji.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, setiap pasukan sepatutnya membuat unjuran kewangan yang tepat dan tidak terbawa-bawa dengan usaha mendapatkan khidmat pemain dengan tawaran yang tinggi.

"Mereka membuat penawaran gaji yang terlalu tinggi di luar pendapatan dan penajaan dan inilah yang akan berlaku.

"Kecenderungan untuk mendapatkan pemain yang diingini tanpa merujuk tahap kewangan mereka antara punca situasi ini berlaku.

"Saya harap pihak pengurusan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mesti mengawal dengan lebih ketat lagi mengenai perkara ini," jelasnya selepas melancarkan program kecergasan  'Fitness In My Pocket', pada Selasa.

Khairy juga mengakui maklum balas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjanji akan melunaskan tunggakan gaji pemain-pemainnya adalah sesuatu yang baik.

"Saya harap ini akan menjadi iktibar kepada pasukan-pasukan lain dan FAM supaya tidak ada lagi pasukan yang menawarkan kontrak di luar kemampuan mereka," tambahnya.

Minggu lalu Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan isu ini dan meminta pasukan terlibat antaranya ATM melunaskan hutang pemain berjumlah RM3.7 juta, Kelantan (lebih RM400,000) dan Felda United FC (FUFC) (RM220,000), demi menjamin kebajikan pemain terbabit.

Terbaharu Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT) berjanji akan membayar tunggakan gaji pemain dalam tempoh sebulan atau tidak melangkaui 90 hari yang ditetapkan FAM.

Presiden PBAT merangkap Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengakui pihaknya lewat membayar gaji ekoran beberapa masalah teknikal.

Selain itu, mengenai program kecergasaan, Fitness In My Pocket yang pertama kali dilancarkan di Malaysia itu,  Khairy mengakui ia sesuatu yang unik dan boleh akses secara percuma.

"Ia direka oleh golongan profesional yang pakar dengan kehidupan gaya sihat dan ingin mencapai tahap kecergasan yang disasarkan.

"Harap ia boleh dijadikan motivasi ke arah kehidupan yang lebih cergas dan sihat seperti mana yang saya selalu ingin jadikan sebuah negara yang aktif dan cergas seperi 'Fit Malaysia' yang dilancarkan tahun lalu," jelasnya.

Fitness In My Pocket merupakan satu aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Apple Store dan Google Play, seterusnya boleh mengikuti latihan-latihan yang disediakan mengikut minat masing-masing.

Tiga kategori yang disediakan dalam program ini iaitu menurunkan berat badan, kekuatan fizikal dan juga kepantasan.

Antara yang terlibat dalam menyediakan jadual latihan kercergasan dalam aplikasi ini adalah bekas atlet berbasikal terkenal negara, Josiah Ng,  Ernie Tang (pelatih kecergasan peribadi di Melbourne) serta Laurel Stelzer (pelatih dari Colorado, Amerika Syarikat).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain