suria

Kedah Kenal Pasti Kesebelasan Utama

PENDATANG baru Liga Super, Kedah telah mengenalpasti sebahagian besar pemain yang akan membarisi kesebelasan utama skuad itu untuk memulakan sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengendali skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe berkata, hasil perlawanan persahabatan yang diadakan sejak awal Januari lalu, beliau telah membuat pemilihan pemain yang akan diturunkan sebagai tonggak utama dalam perlawanan pertama Liga Super menentang Felda United di Jengka.

"Saya telah kenal pasti 75 peratus pemain yang akan membarisi kesebelasan utama. Malah saya juga hampir selesai memilih 18 pemain akan dibawa ke tempat lawan dalam perlawanan sulung itu nanti.

"Bakinya akan dipilih berdasarkan saingan di kalangan mereka yang perlu menunjukkan kecergasan dan kemampuan sebenar yang mampu memberi saingan kepada pihak lawan," katanya kepada mStar Online selepas perlawanan ujian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Menurutnya, dalam perlawanan ujian di antara pasukan Kedah yang dibahagikan kepada dua pasukan, pemain telah mempamerkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi bagi merebut kedudukan dalam kesebelasan utama.

Tiga pemain Kedah iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva dan Syazwan antara yang akan membarisi kesebelasan utama.

"Walaupun perlawanan itu boleh dianggap sebagai latihan tetapi kesemua pemain yang beraksi telah mempamerkan kesungguhan seperti berdepan pasukan lawan.

"Selama 90 minit itu, saya dapat lihat setiap pemain mahu memberikan prestasi terbaik dan bermain mati-matian untuk merebut peluang. Inilah peluang terbaik mereka bagi meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama.

"Bagaimanapun saya hanya dapat mengenalpasti 75 peratus daripada kesebelasan utama dan begitu juga 18 pemain yang akan bersama kita Jengka pada minggu depan," jelasnya.

Cheng Hoe menambah, beliau selain itu perlu berusaha membaiki kelemahan di bahagian serangan dan pertahanan yang sering terleka dan membuka ruang kepada lawan untuk menghasilkan jaringan.

"Kini barisan pemain sudah hampir sedia untuk berdepan Felda United. Pasukan ini kita pernah bertemu pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu dan kita tidak boleh leka kerana mereka juga telah melakukan perubahan untuk memantapkan skuad tersebut.

"Felda United bukanlah pasukan Felda yang sama tahun lalu dan begitu juga kita, memandangkan ini adalah perlawanan pembukaan untuk kedua-dua pasukan, sudah pasti akan terdapat kelemahan dan kesilapan bakal dilakukan pemain kedua-dua pasukan. Kelemahan tersebut mampu diatasi sepenuhnya setelah melalui beberapa perlawanan musim ini," ujarnya.

Pertembungan dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Lain