LIVERPOOL: Penyerang Jermain Defoe muncul penyelamat Sunderland dalam aksi penuh dramatik apabila membantu pasukan lawan itu bangkit daripada ketinggalan dua gol apabila seri 2-2 dengan Liverpool di Anfield, awal pagi Ahad.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi menerusi jaringan Roberto Firmino pada minit ke-59.
Suasana di Anfield terus digamatkan lagi dengan jaringan Adam Lallana pada minit ke-70, seolah-olah memberi gambaran awal bahawa tiga mata sudah berada dalam genggaman mereka.
Namun kemasukan Adam Johnson akhirnya memberikan Sunderland gol pertama pada minit ke-82 diikuti rembatan Defoe pada minit ke-89 bagi gol penyamaan.
Dua gol penuh dramatik Sunderland itu sekali gus membawa kepada kedua-dua pasukan hanya berkongsi satu mata.
Di hadapan stadium yang separuh penuh selepas penyokong tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tiket perlawanan, ribuan penyokong meninggalkan tempat duduk pada minit ke-77 bagi menunjukkan bantahan.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp juga tiada di padang kerana mengalami apendik.
Perlawanan itu menyaksikan pembantunya, Zeljko Buvac mengambil alih tugas yang hampir berjaya membawa tiga mata penuh.


