suria

KFA Hargai Jasa Mukhriz

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghargai jasa Datuk Seri Mukhriz Mahathir di atas komitmen beliau dalam membawa pembaharuan dan kecemerlangan kepada skuad Kedah.

KFA dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sepanjang penglibatan Mukhriz meneraju pertubuhan itu, skuad Kedah kembali bangkit dari episod suram dengan berjaya membuat kejutan di musim 2014.

“Tahun lepas dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana 2015 dan layak ke pentas akhir Piala Malaysia hasil kerjasama semua pihak berkepentingan di bumi jelapang padi.

“Sokongan dan komitmen penuh beliau dalam memperkasakan pengurusan dan pasukan Kedah ketika beraksi dalam Liga Perdana dan langkah mewujudkan struktur pembangunan bola sepak Kedah sebelum ini meletakkan asas yang kukuh bagi meneruskan legasi kegemilangan bola sepak hijau kuning pada masa depan,” kata KFA di halaman Facebook pada Rabu.

Kenyataan itu susulan pengumuman Mukhriz pada Rabu mengenai perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Presiden KFA. 

Menurut KFA, legasi ini bakal memberi inspirasi kepada peneraju baharu dengan sokongan semua pihak yang mencintai skuad kedah.

“Terima kasih Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Biar jasa jadi kenangan. 

“Ayuh, Liga Super 2016 semakin hampir, fokus melangkah ke hadapan. Kedah akan terus memberi saingan sengit buat semua pasukan. Sokongan anda azimat pasukan hijau kuning!”

Mukhriz dilantik menjadi Presiden KFA pada Julai 2013 bagi menggantikan bekas Menteri Besar yang juga bekas Presiden KFA, Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dilantik secara automatik menjawat jawatan itu sebelum ini.

Perlembagaan KFA sebelum ini menetapkan presiden persatuan itu adalah Menteri Besar.

Namun perlembagaan baharu yang diubah pada 2010 menyaksikan jawatan tersebut dan Eksekutif KFA bukan lagi automatik, sebaliknya harus dipertandingkan.

Mukhriz mengisi jawatan berkenaan menang tanpa bertanding.

KFA, Mukhriz Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain