suria

Jee Seng Dilantik Pemangku Penolong Bendahari MOM

Tunku Imran (tengah ) berbincang sesuatu dengan Pengarah Program Podium Malaysia Tim Newenham (kiri) sebelum bermulanya mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Rabu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), Wong Jee Seng dilantik sebagai pemangku penolong bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata akauntan bertauliah itu akan menggantikan Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, yang dilantik sebagai pemangku bendahari, berikutan peletakan jawatan bendahari yang dilantik, Rosmanizam Abdullah.

"Kami memutuskan hari ini bahawa Ahmad Feisal dan Wong akan menguruskan akaun sehingga pemilihan seterusnya pada 2017. (Pelantikan) ini adalah untuk memastikan orang yang tepat menguruskan kewangan kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat lembaga eksekutif majlis itu di Wisma OCM, di sini, Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Rosmanizam, yang dilantik pada pemilihan 22 Ogos lepas untuk tempoh 2015-2017, meletakkan jawatan pada 22 Disember lepas atas alasan peribadi.

Sementara itu, Tunku Imran berkata ahli lembaga telah berbincang dengan Pengarah Program Podium yang baharu dilantik, Tim Newenhem mengenai peranan MOM dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi memastikan kejayaan program itu.

"Kita berbincang tentang bagaimana MOM dan NSA boleh menjadi sebahagian daripada program ini...Saya percaya ia penting, khususnya untuk NSA terlibat dalam program ini kerana mereka mempunyai atlet dan Program Podium menyokong apa yang mereka lakukan kini.

"Ia merupakan program yang bagus dalam membantu atlet mendapatkan kejayaan yang lebih baik selepas banyak kali hampir terlepas  peluang pingat pada Sukan Olimpik, Komanwel dan Asia. Sekarang, kita mahu pastikan keadaan itu mengubah kepada hasil pingat yang sebenar," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KFA Hargai Jasa Mukhriz

Artikel Lain