suria

Pengalaman Fakri, Kahe 'Senjata' Kedah

PENGALAMAN Ahmad Fakri Saarani dan Carlos Kahe bakal membantu pasukan Kedah bagi merobek gawang lawan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Gandingan dua penyerang berpengalaman itu terbukti apabila Fakri meledakkan hatrik untuk membenam Sungai Ara FC 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darulaman Isnin lalu.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, bukan setakat jaringan yang menjadi tumpuannya setakat ini, tetapi corak permainan yang diterapkan antara perkara penting, kerana ia mampu mewujudkan keseimbangan dalam setiap perlawanan.

"Saya diberitahu oleh Penolong Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusof bahawa kesemua pemain yang beraksi telah mempamerkan prestasi terbaik serta kesungguhan dan kemahuan tinggi bagi mengatasi lawan mereka dan inilah sifat yang saya mahu lihat.

"Fakri sebagai bekas penyerang kebangsaan dan pemain yang pernah beraksi diluar negara memiliki pengalaman yang berjaya membantunya menjaringkan tiga gol dan Kahe pula belum cergas sepenuhnya mampu beraksi dengan baik.

"Digandingkan dengan barisan pemain lama kita seperti Bang Seung Hwan, Khyrul Helmi Johari, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Shafizan Hashim dan Baddrol Bakhtiar telah berjaya memastikan prestasi mantap dan teratur daripada barisan pemain.

"Walaupun aksi mereka sedikit perlahan setelah menjalani latihan selama sebulan lalu, tetapi mereka memerlukan sedikit masa dan beberapa perlawanan Liga Super bagi mempamerkaan kewibawaan sebenar mereka,” katanya yang berada di China ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Cheng Hoe, pada perlawanan itu Farhan Roslan dan Bang turut mencatatkan nama sebagai penjaring selain Kahe dan itu membuktikan pasukan Kedah tidak bergantung pada hanya seorang penjaring.

"Saya akan pulang ke Malaysia pada Jumaat dan akan berada bersama pemain ketika Kedah berdepan UiTM FC dalam perlawanan persahabatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok. Saya akan memberi peluang kepada kesemua pemain Kedah untuk terus membuktikan kewibawaan mereka.

"Inilah peluang terakhir mereka untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama yang akan melakukan sepak mula dalam saingan Liga Super bertemu Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang pada 13 Februari ini.

"Saya terpaksa akur yang ketika ini memang sukar untuk memilih kesebelasan utama malah 18 pemain akan bertolak ke Jengka tetapi ini adalah suatu keadaan yang baik untuk kejayaan pasukan Kedah musim ini," ujarnya.

Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PQPTRW Tampil 11 Muka Baharu

Artikel Lain