suria

Kontinjen Malaysia Di APG Berada Di Landasan Betul - Khairy

Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama pemenang pingat emas acara tenpin boling kategori TPB 8 + TPB 8, Zahidi Lamsah (kiri) dan Mohd Khairul Ishak (kanan) pada Sukan Para ASEAN Kelapan di Tamasek Club, Sabtu. Foto: Bernama

SINGAPURA: Kontinjen Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai kedudukan tiga teratas keseluruhan pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-lapan yang berlangsung di sini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan kontinjen negara pada temasya sukan bagi atlet kelainan upaya itu, yang berlangsung dari 3 hingga 9 Disember.

"Kita meraih emas dalam acara sukan yang dijangkakan, dan rata-rata sukan yang saya lawati, saya mendapat tahu kita ada atlet yang sangat bagus. Boling telahpun melepasi sasaran hari ini, saya harap sukan lain juga akan mencapai sasaran.

"Kita sentiasa ada program untuk atlet paralimpik. Melalui Majlis SukanNegara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan, kita ada program akar umbi dan sebagainya untuk terus maju," katanya kepada Bernama ketika hadir memberi sokongan kepada skuad boling negara di Kelab Temasek, Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa menyediakan pelan terbaik bagi memastikan kontinjen paralimpik negara muncul juara ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

Mengulas mengenai insentif kepada pemenang pingat emas temasya itu, Khairy berkata insentif itu kekal sepertimana diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, mengikut Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Mengikut skim baharu itu, setiap pemenang pingat emas akan menerima insentif sebanyak RM20,000 untuk emas pertama dan RM10,000 bagi setiap emas peribadi seterusnya.

"Insentif bagi atlet yang berjaya memecahkan rekod pula, kita akan lihat nanti berdasarkan keputusan keseluruhan," katanya.

Malaysia, setakat ini meraih 22 pingat emas, 17 perak dan 10 gangsa. Sasaran kontinjen negara pada temasya yang berbaki lima hari lagi itu adalah 50 pingat emas.

Artikel Lain