suria

Liek Hou Dicalon Pemain Para-Badminton Lelaki Terbaik BWF

Cheah Liek Hou

SINGAPURA: Juara dunia lima kali para-badminton,Cheah Liek Hou terkejut bercampur gembira apabila dimaklumkan dia dicalonkan sebagai penerima anugerah Pemain Para-Badminton Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang julung kali diadakan tahun ini.

Cheah (kelas sukan SU 5), yang kini mewakili Malaysia pada Sukan Para ASEAN (APG) kelapan di sini, yakin akan memenangi anugerah itu berdasarkan pencapaiannya sepanjang tahun ini.

"Sudah tentu saya sangat gembira, tapi buat masa ini, saya lebih memberifokus kepada APG. Saya rasa saya boleh menang anugerah (BWF) itu kerana berbanding dua calon lain, peluang saya lebih cerah.

"Saya belum kalah satu perlawanan pun sejak September dan tidak pernah kalah pada Kejohanan Dunia (Para) selama lima tahun berturut-turut," kata Cheah kepada Bernama apabila ditemui di Arena OCBC pada Sabtu.

Pada Jumaat,  BWF dalam kenyataan mengumumkan Cheah serta dua lagi - Lee Sam Seopdari Korea (WH 1) dan pemain Poland, Bartlomiej Mroz (SU 5) - sebagai calon untuk anugerah bagi atlet kelainan upaya itu.

Ketika ini, Cheah adalah pemain nombor satu dunia setelah meraih dua pingat emas (perseorangan dan beregu) pada Kejohanan Para-Badminton Dunia 2015, dua emas pada Kejohanan Antarabangsa Sepanyol 2015, dua emas di Kejohanan Antarabangsa China 2015 dan satu emas serta satu perak pada Kejohanan Antarabangsa Indonesia 2015. 

Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada Majlis Meraikan Pemain dan Makan Malam Gala bagi pusingan akhir Siri Super Dunia Dubai pada Isnin depan (7 Dis) di Kelab Golf Al Badia, Dubai.

Bagaimanapun, Cheah yang dalam misi memecahkan rekod peribadi acara perseorangan dan beregu kategori SU5, tidak berpeluang menghadiri majlis makan malam gala itu kerana perlawanan akhir dijadual berlangsung pada Selasa.

"Berdasarkan prestasi dan keadaan saya sekarang, saya yakin akan memenangi gelaran itu (APG) di sini," katanya.

Pada perlawanan pembukaan perseorangan lelaki Kumpulan A hari ini, Cheah dengan mudah menundukkan Pricha Somsiri dari Thailand 21-6 dan 21-15, sebelum menyertai Hairulfozi Saaba untuk menentang Oddie Kurnia Dwi Listyanto/SuryoNugroho dari Indonesia dalam acara beregu.

Cheah mula bejinak-jinak dengan badminton ketika berusia sembilan tahun atas dorongan gurunya di SJK (C) Chung Kwok, Kuala Lumpur sebelum meneruskan minatnya dalam sukan itu apabila mengikuti pengajian pra-universiti di Sekolah SukanBukit Jalil.

Selepas itu, dia menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dalam jurusan Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum bertugas sebagai pegawai pemasaran dengan sebuah syarikat.

Selain menyandang lima gelaran juara dunia, Cheah juga memenangi dua pingat emas pada APG edisi 2003 di Hanoi, Vietnam; 2005 di Manila, Filipina, 2008 diNakhon Ratchasima (Korat), Thailand; 2009 di Kuala Lumpur dan 2011 di Solo,Indonesia. 

Acara badminton tidak dipertandingkan pada edisi 2013 di Naypyidaw,Myanmar. -Bernama

Artikel Lain