suria

Penganjur Kejohanan Skuasy Dunia Guna Alasan Keselamatan - Khairy

KUALA LUMPUR: Penganjur Kejohanan Skuasy Dunia, Kumpulan Hallmark Events hanya menggunakan isu keselamatan negara sebagai alasan bagi mendapatkan penajaan berjumlah RM3.5 juta. 

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan penganjur itu bersikap licik bagi mendapatkan penajaan daripada kerajaan Malaysia, sekiranya mahu meneruskan penganjuran Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Kuala Lumpur dari 11 hingga 18 Disember ini. 

Khairy berkata pihaknya menerima penjelasan daripada penganjur menerusie-mel pada Jumaat, namun menyifatkan tindakan mereka menggunakan alasan masalah keselamatan di Malaysia untuk menangguhkan kejohanan itu, adalah tidak masuk akal. 

"Lebih menarik lagi, dalam e-mel yang saya terima, mereka mengakui semua (isu keselamatan) bukan sebab utama, mereka sebenarnya mengakui menghadapi masalah kewangan. 

"Dalam e-mel itu, mereka menyatakan kejohanan tersebut boleh diteruskan sekiranya kerajaan Malaysia memberi penajaan sebanyak RM3.5 juta untuk aturan keselamatan persendirian.

"Ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya menggunakan kenyataan itu (masalah keselamatan) untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan. Saya tidak berkompromi dengan peras ugut menggunakan isu keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri 'Townhall Session' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Khairy turut menyanggah kenyataan masalah keselamatan yang dikeluarkan oleh penganjur itu, memandangkan Malaysia telah menganjurkan pelbagai persidangan antarabangsa tanpa sebarang masalah.

Misalnya, beliau berkata Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara baru-baru ini, yang menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin terkemuka dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan ia berjalan dengan lancar.- Bernama

Artikel Lain