suria

Liga-M 2016: T-Team Pillih Tujuh Pemain Harimau Muda B

KUALA TERENGGANU: T-Team akan mengambil tujuh pemaintempatan baharu dari skuad Harimau Muda B bagi memperkuatkan pasukan berstatus kelab itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.

Penolong jurulatih T-Team Mohd Azhari Salim berkata muka baharu itu terdiri daripada tiga anak Terengganu manakala selebihnya merupakan pemain dari negeri-negeri lain.

"Pemain-pemain ini baharu sahaja selesai mewakili negara dalam saingan Liga Singapura, dan satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai tanda pengesahan antara T-Team dengan pemain-pemain terbabit telah kita lakukan di Kuala Lumpur pada semalam," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Tahun 2015 merupakan penampilan terakhir wakil Malaysia dalam saingan Liga Singapura berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak memperbaharui MoU yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2011 yang berakhir pada tahun ini.

Mohd Azhari berkata T-Team akan memohon kepada persatuan bola sepak negeri-negeri terbabit untuk melepaskan pemain-pemain tersebut bermain untuk pasukan T-Team.

Justeru beliau berharap kehadiran pemain-pemain itu nanti akan memperkuatkan lagi pasukan T-Team dalam persediaan menghadapi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk perlawanan play-off bagi mengisi satu slot kelayakan ke dalam saingan Liga Super musim depan.

Kekosongan slot ini disebabkan Lions XII tidak lagi beraksi dalam Liga-M tahun depan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Azhari berkata dua pemain import T-Team yang baharu dari Mali iaitu Makan Konate dan Abdoulaye Youssouf Maiga dijadualkan tiba di sini pada 3 Disember ini.

Beliau berkata dua pemain kebangsaan Mali berusia 24 dan 28 tahun itu masing-masing pernah beraksi dengan kelab Persib Bandung dan Sriwijaya dalam Liga Indonesia, dan sudah mengadakan MoU dengan T-Team semasa lawatan pegawai-pegawai T-Team ke Indonesia pada minggu lepas.

T-Team, Harimau Muda B

Artikel Sebelum

Artikel Lain