suria

Ronaldo Gesa Presiden Bola Sepak Brazil Letak Jawatan

SAO PAULO: Masalah dalaman Gabungan Bola Sepak Brazil (CBF) telah menjejaskan keputusan di atas padang dan presiden organisasi itu perlu meletak jawatan, kata bekas penyerang Brazil, Ronaldo.

Bekas presidennya telah ditangkap susulan siasatan rasuah oleh FIFA pada Mei dan penggantinya turut mendapat perhatian umum sejak beberapa bulan lalu.

Kata Ronaldo, keputusan di padang menunjukkan pasukan kebangsaan Brazil itu tersingkir daripada Copa America di peringkat suku akhir pada Jun lalu.

Malah pasukan berkenaan turut memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dengan tidak konsisten apabila kalah pada perlawanan pembukaan sebelum kembali pulih untuk memenangi dua perlawanan dan kemudian berhadapan satu lagi kekalahan.

"Keputusan yang baik tidak datang dalam suasana yang huru-hara.

"Ia adalah masa yang sangat sukar untuk bola sepak Brazil sama ada daripada aspek pentadbiran dan bakat.

"Kami berhadapan masa yang sukar untuk mencari bakat baharu. Pemain berbakat lebih mudah ditemui pada masa lalu," kata Ronaldo kepada Reuters dalam satu temu bual pada Rabu.

Ronaldo berkata penahanan bekas Presiden CBF, Jose Maria Marin dan kritikan terhadap penggantinya Marco Polo Del Nero telah merosakkan kredibiliti bola sepak di Brazil.

Brazil adalah satu-satunya negara yang memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali.

Marin dihantar balik ke New York awal bulan ini dan Del Nero enggan meninggalkan Brazil sejak polis menyerbu sebuah hotel pada Mei dan menahan sembilan pegawai bola sepak dan lima media sukan dan pegawai promosi eksekutif membabitkan isu rasuah.

Artikel Berikut

Artikel Lain