suria

JDT Mara Ke Final Piala AFC 2015 Susulan Penggantungan KFA

PETALING JAYA: Inilah yang dikatakan rezeki dan tuah datang bergolek apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) akan beraksi pada perlawanan akhir Piala AFC 2015 tanpa perlu mengharungi aksi separuh akhir kedua yang dijadualkan pada Selasa ini.

Peluang itu hadir apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) daripada terlibat dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

JDT dijadualkan menentang Al-Qadsia SC pada Selasa depan tetapi tindakan FIFA terhadap KFA memberi laluan mudah kepada pasukan tersebut untuk menempah tiket ke final.

Pada aksi pertama bertemu Qadsia SC di Kuwait, bulan lalu, JDT tewas dan ketinggalan secara agregat 3-1 menjelang pertembungan kedua di Larkin.

Pertembungan final Piala AFC terus mencipta sejarah dan lembaran baharu buat juara Liga Super 2015 itu.

Jawatankuasa Disiplin FIFA yang bersidang pada 24 dan 25 September lalu memberi masa kepada KFA sehingga 15 Oktober, bagi meminda perubahan terhadap undang-undang sukan di negara terbabit yang memperlihatkan campur tangan kerajaan.

Disebabkan tiada tindakan yang diambil, FIFA bertindak menggantung KFA yang menyaksikan tiada pasukan daripada negara terbabit dibenarkan beraksi pada kejohanan yang dianjurkan badan induk itu.

Namun, FIFA berkata penggantungan itu hanya akan ditarik semula apabila KFA dan ahli gabungannya mematuhi undang-undang badan induk itu.

Melihatkan kepada tempoh masa yang dimiliki KFA, ia jelas tidak mencukupi yang harus memberikan tiket final percuma kepada JDT.

Satu lagi perlawanan separuh akhir turut membabitkan kelab Kuwait, Al Kuwait bertemu kelab Tajikistan, Istiklol.

Istiklol yang dijangka turut mendapat tiket final percuma tewas 4-0 pada separuh akhir pertama.

Perlawanan final Piala AFC dijadualkan pada 31 Oktober ini.


Piala AFC 2015, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Lain