suria

Mercedes Akan Terus Dominasi F1 - Pemilik Red Bull

PEMILIK pasukan Red Bull, Dietrich Mateschitz percaya Mercedes akan terus mendominasi perlumbaan Formula Satu (F1) tahun ini berdasarkan persembahan ujian pertama pramusim di Jerez minggu lalu.

Biarpun pemandu Ferrari mempamerkan aksi pantas pada hari pembukaan ujian itu, Mercedes tetap menguasai carta pencapaian pasukan mereka.

Mateschitz turut berada di Jerez bertemu dengan pemandu-pemandu Red Bull serta pasukan Toro Rosso.

"Mercedes masih lagi di depan dan tidak ada apa yang boleh mengubah dominasi pasukan itu," katanya.

Ketika ujian pramusim itu berlangsung, Red Bull dibelenggu masalah terhad enjin (enjin Renault Energy F1-2015) yang digelar 'bahagian bodoh' oleh Renault. 

"Jika Renault mampu mengurangkan jarak dari 40-50bhp dengan Mercedes, kita tidak perlu risau malah membuktikan pasukan ini berjaya mencipta jentera yang bagus. Saya memang tidak ada keraguan dalam perkara ini," jelasnya.

Daniel Ricciardo dan Daniil Kvyat merupakan pelumba Red Bull yang berada di tempat kedua musim lalu.

Sementara itu, satu lagi pasukan miliknya iaitu Toro Rosso dilihat lebih lancar berbanding Red Bull.

Bos Toro Rosso, Franz Tost  menjangkakan dua pemandunya Carlos Sainz Jr dan Max Verstappen bakal membawa jentera itu berada dalam lima kelompok terbaik bagi kategori pengeluar.

"Kami mempunyai dua pelumba muda yang luar biasa. Sasaran kami tidak berubah, Toro Rosso adalah tempat belajar bagi bakat-bakat muda.

"Saya berkongsi pandangan dengan Franz bahawa Toro Rosso perlu bersaing untuk merebut cabaran meraih tempat kelima dalam kedudukan ranking pengeluar," jelas Mateschitz.

Artikel Lain