Syed Saddiq menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 untuk disalurkan kepada penduduk di Parlimen Muar.
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan berjaya mengutip sebanyak RM54,692 pada hari pertama misi Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar, Johor.Syed Saddiq mengumumkan perkara itu menerusi laman media sosialnya yang turut merakamkan penghargaan buat penyokong yang mendoakan usaha mengumpul dana buat penduduk di Muar. "RM54,692 berjaya kita kumpul pada hari pertama Larian Kesyukuran Muar! "Dari Putrajaya ke Salak Tinggi, kemudian Labu... Ramai menunggu di tepi jalan untuk beri semangat dan mendoakan kami," tulisnya.Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam masa sama terharu dengan sambutan orang awam di sepanjang jalan yang memberi sokongan kepadanya. ARTIKEL BERKAITAN: Siang YB, malam jadi ‘Batman’ Hollywood! Syed Saddiq makin rancak buat ‘side job’ demi Muar… Baru ‘lock’ kerja gaji RM115,000"Sampai di Labu, saya terkejut melihat lautan manusia yang masih menunggu walaupun sudah malam."Saya yang berlari, tetapi anda semua yang menggerakkan perjalanan ini," menurutnya. Misi yang bermula pada Khamis dari Istana Kehakiman di Putrajaya itu itu menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 bagi membantu anak-anak serta penduduk di Parlimen Muar menerusi pelbagai inisiatif kebajikan."This is only the beginning (ini hanya permulaan)," menurutnya lagi.Ketika memulakan misinya, Syed Saddiq turut ditemani ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, serta tunang, penyanyi dan pelakon Bella Astillah.Larian berkenaan juga sebagai tanda kesyukuran beliau selepas Mahkamah Persekutuan pada Isnin lalu mengekalkan sabitan bebas berkaitan empat pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah.Ini bukan kali pertama Syed Saddiq menggerakkan inisiatif sendiri bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk di parlimennya.Bulan lalu, beliau mengumumkan berjaya menyumbang RM115,000 kepada penduduk Muar hasil kerja sambilan dan penggambaran.Ogos tahun lalu, bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mengumumkan berjaya mengumpul RM2 juta sejak melibatkan diri sebagai duta pelbagai produk bersama Bella Astillah.