suria

Liga Super: Tewas Aksi Pembukaan, Kapten ATM Lebih Positif

Kapten ATM, Hairuddin Omar. Turut kelihatan jurulatih pasukan B. Sathianathan (kanan).

PETALING JAYA: Kapten pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar akui kekalahan 2-0 kepada Kelantan pada saingan perlawanan pembukaan Liga Super Sabtu lalu memberi pengajaran tersendiri kepada pasukannya.

Jelas pemain tengah yang lebih dikenali sebagai Hai-O ini, kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan pasukannya sendiri.

"Semua pemain bekerja keras, cuma nasib masih belum menyebelahi kami. Saya percaya perlawanan itu memberi pengajaran berguna menjelang perlawanan dengan Perak Sabtu ini.

"Kami banyak mencipta peluang tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan gol. Beberapa kesilapan perlu diperbaiki segera agar tidak lagi mencatat keputusan kalah, lebih-lebih lagi di laman sendiri.

"Kami bernasib baik pasukan Kelantan tidak terus menambah jaringan mereka.

"Dari segi kombinasi pemain-pemain, saya rasakan tidak ada sebarang masalah, dan saling memahami antara satu sama lain," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Dalam pada itu, Hai-O,36 yakin jurulatih pasukannya, B. Sathianathan sudah mempunyai ramuan tersendiri selepas aksi pembukaan ini.

"Saya percaya kekalahan ini dijadikan semangat buat  kami untuk melakukan lebih baik lagi pada aksi akan datang.

"Malah jurulatih juga pastinya ada sesuatu yang baharu untuk kami berdepan dengan perlawanan seterusnya," tambahnya.

ATM bakal berdepan dengan Perak juga di laman sendiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang menjadi gelanggang rasmi skuad The Gladiators pada 14 Februari ini.

Musim lalu, ATM menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10.

ATM, Liga Super, Hai-O

Artikel Lain