suria

Tuah Jersi Biru Cardiff City

Penyokong gembira dengan keputusan untuk menukar warna rasmi Cardiff City kepada biru.

BERAKSI dengan jersi tradisi biru dan logo asal Bluebird bagaikan memberi semangat baharu kepada pemain Cardiff City apabila berjaya menewaskan Fulham pada malam Sabtu.

Stadium Cardiff City yang sesak dengan penyokong yang gembira dengan keputusan untuk menukar semula warna rasmi kelab kepada biru ternyata memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.

Ternyata ia berbaloi apabila penyokong dihadiahkan gol pada minit ke-14 perlawanan hasil rembatan Sean Morrison, sekali gus memberi kemenangan buat kelab itu.

Terima kasih kepada ibu hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang menasihatkannya supaya menukar semula warna rasmi Cardiff City kepada biru.

Selain itu, beliau juga mengembalikan logo asal Bluebird sebagai langkah untuk berdamai dengan penyokong.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengakui nasihat ibunya, Low Siew Beng mendorong beliau mengubah fikiran.

Cardiff yang kini bersaing dalam Liga Kejuaraan England akan memakai jersi biru apabila bermain di tempat sendiri, berbanding jersi merah yang digunakan selama ini.

Vincent, 63, menukar jersi utama Cardiff daripada biru kepada merah, selain menukar logo Burung Biru (Bluebird) kepada naga merah selepas membeli kelab itu pada 2012.

Beliau percaya, naga dan warna merah bakal membawa tuah kepada kelab Wales tersebut, bagaimanapun tindakannya tidak diterima penyokong Bluebirds.

Bagaimanapun, kedatangan ibunya untuk menonton perlawanan menentang Fulham mengubah pendirian Vincent apabila pemain kelab itu akhirnya menyarung jersi tradisi mereka itu.

"Meluangkan masa bersama keluarga memberi kesan mendalam kepada diri saya.

“Ibu saya seorang penganut Buddha yang taat telah berkunjung ke Kelab Bola Sepak Cardiff City bagi menyaksikan mereka bermain dan  menasihatkan saya mengenai kebersamaan, perpaduan dan kebahagiaan," katanya.

Mengakui hasil bimbingan, berkat dan pengaruh ibu, beliau berhasrat merapatkan kembali hubungan dengan penyokong dan keputusan dibuat selepas berbincang dengan pengerusi, Mehm­et Dalman dan ketua pegawai eksekutif, Ken Choo.

“Niat saya adalah untuk menyatukan serta menjadikan kelab ini berjaya, dan dengan itu saya menyokong keputusan lembaga kelab melakukan perubahan,” kata Vincent.

Pertukaran jersi biru berkuat kuasa serta-merta setelah diberi pengecualian oleh Liga Bola Sepak.

Logo kelab pula akan direka semula pada musim panas ini. Vincent turut mengumumkan perancangannya untuk menurunkan harga tiket bermusim.


Cardiff City, Bluebird, Vincent Tan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain