suria

Drogba Kembali Bersama Chelsea, Mahu Cipta Satu Lagi Sejarah

Didier Drogba
'SEORANG penjaring gol yang paling penting dalam sejarah Chelsea' adalah bagaimana Jose Mourinho menyifatkan tentang pemain, Didier Drogba yang dibawa masuk sekali lagi ke kelab Chelsea menerusi perjanjian yang disahkan pada Jumaat.

Pada usia 36, kehebatannya mungkin telah berkurangan sedikit, tetapi Drogba adalah seseorang yang masih berharga buat seorang yang bercita-cita besar seperti Mourinho.

Jelas sekali, Mourinho menghargai Drogba dengan cara yang sama seperti Alex Ferguson suka mendapatkan khidmat pemain Ryan Giggs di Old Trafford.

Bukan hanya untuk pengalamannya, tetapi juga keinginan untuk melihat kelab itu berjaya; satu keinginan yang dapat dimanfaatkan pemain-pemain muda.

Selaras dengan dasar Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain lebih tua, Drogba telah menandatangani kontrak satu tahun bersama kelab itu.

Mourinho, yang mendedahkan hasratnya untuk menandatangani Drogba untuk kali kedua di Austria pada Khamis, pada Jumaat berkata: "Dia datang kerana dia adalah salah seorang penyerang terbaik di Eropah.

"Saya sangat tahu keperibadiannya dan saya tahu jika dia kembali dia tidak dilindungi oleh sejarah atau apa yang dia telah lakukan untuk kelab ini sebelum ini. Dia akan datang dengan mentaliti untuk mencipta satu lagi sejarah."

"Apabila kontraknya sebelum ini berakhir pada tahun 2012, ia hanya beberapa minggu selepas dia berjaya membantu menjulang Chelsea sebagai juara Liga Juara-Juara menewaskan Bayern Munich.

Mengenai kontrak itu, Drogba berkata: "Ia adalah satu keputusan yang mudah. Saya tidak dapat menolak peluang untuk bekerja dengan Jose lagi.

"Semua orang tahu hubungan istimewa saya dengan kelab ini dan ia sentiasa membuatkan saya terasa berada di rumah saya.

"Keinginan saya untuk menang masih sama dan saya berharap peluang ini dapat membantu pasukan ini. Saya teruja untuk melalui bab seterusnya kerjaya saya."

Drogba akan memainkan peranan bersama-sama dengan pemain yang baru sahaja menandatangani perjanjian bersama kelab itu, Diego Costa, tetapi bintang Sepanyol itu pasti akan kagum dengan rekod rakan sekerja barunya di Stamford Bridge yang menyumbangkan tidak kurangnya 34 gol dalam pertandingan di Eropah.

Dalam lapan tahun, dia memenangi tiga gelaran Liga Perdana, empat Piala FA, dua Piala Liga dan Liga Juara-Juara.

Pingat Dimenangi Drogba Ketika Bersama Chelsea

2004/05: Liga Perdana dan Piala Liga
2005/06: Liga Perdana
2006/07: Piala FA dan Piala Liga
2008/09: Piala FA
2009/10: Liga Perdana dan Piala FA
2011/12: Piala FA dan Liga Juara-Juara


Didier Drogba, Chelsea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain