suria

T-Team Cari Jurulatih Pengganti Azraai

Azraai Khor.
KUALA TERENGGANU: T-Team yang terkejut dengan peletakan jawatan ketua jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah pada Jumaat, terpaksa mencari pengganti sebelum Piala Malaysia membuka tirai 13 Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pihaknya telah melakukan perbincangan dan setakat ini telah mengenal pasti beberapa calon pengganti.

"Kita ada beberapa senarai jurulatih yang bakal menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Azraai, namun setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat dan kita akan cari pengganti secepat mungkin bagi menghadapi saingan Piala Malaysia," katanya kepada pemberita.

Beliau membayangkan kemungkinan jurulatih tempatan dari pantai timur akan dipilih untuk mengendalikan skuad The Titans.

Beliau berkata pihak pengurusan T-Team agak terkejut dengan peletakan jawatan Mohd Azraai.

"Walaupun terkejut dengan peletakan jawatan ini, namun kami tetap berterima kasih di atas khidmat beliau sepanjang mengendalikan pasukan dan kita harap beliau terus berjaya dalam kerjayanya," katanya.

Mengenai status penolong jurulatih Azlan Johar, Mohd Syahrizan berkata dia masih kekal dengan jawatan itu.

Mohd Azraai, 62, mengambil keputusan meletak jawatan ekoran rasa bertanggungjawab kerana gagal membawa dan mengekal T-Team dalam Liga Super.

T-Team, Azraai Khor, letak jawatan

Artikel Berikut

Artikel Lain