suria

Malaysia Naik Ke Ranking 141 Dunia

Kim Swee (biru) mengambil alih skuad negara bermula Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak sembilan anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-141 dunia pada ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada Khamis.

Perubahan ketara tersebut didorong oleh kejayaan skuad Harimau Malaya mengalahkan Yemen 2-1 pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac lepas, selain seri 1-1 menentang Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, empat hari sebelum itu. 

Skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee berada di tangga 154 pada bulan Januari sebelum naik empat tangga pada Februari.  Kedudukan tersebut meletakkan skuad Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Belize (140), Turkmenistan (142), Lesotho (143), Antigua and Barbuda (144) serta Hong Kong pada kedudukan ke-145 dunia.  

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turut melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ketiga di belakang Vietnam (125) dan Filipina (130).

Di peringkat Asia, Malaysia naik tujuh anak tangga pada kedudukan ke-22 daripada 46 negara. 

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,510 mata. Jerman dan Argentina turut mengekalkan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila masing-masing mengutip 1,336 dan 1,234 mata. 

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 buah negara.

bolasepak, ranking, dunia, Malaysia

Artikel Berikut

Pahang Didenda RM30,000

Artikel Lain