suria

Skuad Silambam N.Sembilan Gagal Pertahankan Kejuaraan Pada Sukma ke-16

KUALA LUMPUR: Skuad Silambam Negeri Sembilan yang menjadi kuasa utama sukan tempur tradisi masyarakat India itu sejak edisi Sukan Malaysia (Sukma) 2011, gagal mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua pada edisi 2013 di sini.

Pada hari terakhir acara itu di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, kontinjen Kedah sebaliknya mencipta kejutan dengan menambah empat lagi pingat emas dalam kategori Poruthal untuk muncul juara keseluruhan menerusi kutipan enam pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa.

Negeri Sembilan pula hanya mampu menambah tiga emas hari ini untuk berada di tangga kedua dengan kutipan keseluruhan lima emas, empat perak dan tiga gangsa.

Ketua jurulatih wanita Negeri Sembilan, C. Pushpa Rani, yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan pingat, berkata beliau tetap berpuashati dengan pencapaian anak didiknya.

"Mungkin kita perlu menilai kembali segala kelemahan yang ada pada pasukan sebelum menghadapi temasya Sukma 2014," katanya.

Dalam pada itu, Pushpa terkilan dengan mutu pengadilan yang disifatkannya 'agak lemah' sehingga menjejaskan peluang anak didiknya meraih lebih banyak emas.

Silambam merupakan sukan demonstrasi pada Sukma 2008 di Terengganu sebelum dianjurkan buat pertama kali pada 2011 di Kuala Lumpur yang menyaksikan kontinjen Negeri Sembilan muncul juara.

Hos Sukma 2012, Pahang tidak menganjurkan sukan berkenaan kerana memberikan tumpuan kepada sukan pilihan yang lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain