suria

Piala FA: Percaturan Terakhir Johor DT - Kelantan

Kapten pasukan JDT, Kamarul Afiq Kamaruddin (kanan) dan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi (kiri) bergambar bersama trofi Piala FA Malaysia di Stadium Bukit Jalil Bukit Jalil. -foto AZMAN GHANI
Kapten pasukan JDT, Kamarul Afiq Kamaruddin (kanan) dan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi (kiri) bergambar bersama trofi Piala FA Malaysia di Stadium Bukit Jalil Bukit Jalil. -foto AZMAN GHANI
Kapten pasukan JDT, Kamarul Afiq Kamaruddin (kanan) dan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi (kiri) bergambar bersama trofi Piala FA Malaysia di Stadium Bukit Jalil Bukit Jalil. -foto AZMAN GHANI

PERCATURAN terakhir Piala FA Malaysia pada Sabtu bakal mencatat sejarah tersendiri dengan menyaksikan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) melangkah ke final bertemu dengan juara bertahan, Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di atas kertas, pastinya pengalaman selaku juara musim lalu menjadi ukuran untuk Kelantan mempertahankan trofi kejuaraan ini, namun sukar dibayangkan kerana barisan pemain sudah berbeza dengan musim lalu.

Kemunculan Johor DT musim ini telah terbukti memberi impak besar dalam kancah bola sepak tempatan apabila tampil dengan aksi konsisten sebelum meraih tiket ke final ini.

Dengan mengumpul barisan pemain-pemain ternama negara, Johor DT pastinya menaruh keyakinan tinggi untuk gelaran juara musim ini selepas 15 tahun.

Ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad berkata, buat masa sekarang dia masih belum putuskan siapa yang akan membarisi posisi utama pada perlawanan penting Sabtu ini.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini, tetapi peluang mereka untuk bermain masih terbuka pada sesi latihan akhir hari ini (Jumaat).

“Saya hanya akan memilih pemain-pemain yang cergas dan bersedia. Saya menaruh harapan tinggi agar mereka semua sudah bersedia dari segi mental dan fizikal,” jelasnya pada sedang media pada Jumaat.

Fandi juga turut menjelaskan peluang bertemu Kelantan pada aksi final ini adalah seimbang.

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan saya dapat rasakan perlawanan akan seimbang. Tidak ada apa yag saya mahukan selain mahu melihat pemain-pemain saya mampu mencatat kemenangan.

"Ia adalah tuah bagi Johor DT mara ke final. Dan sebab itulah saya mahu mereka bekerja keras dengan penuh semangat,” tambahnya.

Sementara itu, kapten pasukan, Kamarul Afiq Kamarudin agak teruja kerana pertama kali beraksi di pentas akhir ini memandangkan musim lalu ketika bersama Sime Darby dia tidak dapat bermain.

“Tidak dinafikan ini pertaruhan penting bukan sahaja untuk pasukan Johor DT tetapi bagi diri saya kerana dapat kembali ke negeri sendiri dan bermain di aksi akhir.

“Saya mahu membantu pasukan untuk mencatat sejarah membawa balik trofi ke Johor. Dalam pada itu saya juga yakin rakan sepasukan sudah bersedia dan akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Selain itu ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui perlawanan akahir ini agak sengit, namun ia tidak memberi sebarang tekanan kepada pasukannya.

“Semua pemain berada dalam keadaan memuaskan, malah saya tidak merasakan sebarang tekanan. Tidak dinafikan, musim ini banyak peningkatan yang dilihat walaupun bukan seratus peratus.

“Ini adalah perlawanan yang penting dan saya juga tahu bertemu Johor DT bukan mudah kerana mereka mempunyai pemain-pemain terbaik di Malaysia.

“Namun itu bukanlah menjadi penghalang kerana kami mempunyai cara tersendiri untuk menyekat pemain-pemain mereka.

"Saya juga yakin permainan akan seimbang dan peluang 50-50 bagi kedua-dua pasukan,” jelas Hodak.

Bagi kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya mengakui bukan mudah untuk mempertahankan gelaran juara berbanding mencatat gelaran juara.

“Harap dapat mempamerkan permainan yang baik. Saya akui kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Berdepan dengan bekas rakan sepasukan seperti Norshahrul Idlan Talaha bukan mudah, tetapi kami akan cuba ‘mengikat’ dia dengan lebih ketat agar tiada peluang untuk melakukan jaringan,” katanya.

Sebagai rekod kali terakhir Johor berjaya meraih gelaran juara Piala FA adalah pada tahun 1998 selepas menewaskan Sabah 1-0.

Manakala Kelantan pula mencatat rekod lebih baik selepas tiga kali mara ke final (2009,2011,2012) dan bergelar juara pada tahun lalu dengan menumpaskan Sime Darby, 1-0.

Perlawanan akhir ini juga bakal menyaksikan dua pemain terbaik Johor DT bakal menerima ganjaran mewah berupa sebuah SUV Audi Q7 sebagai tanda penghargaan.

Artikel Lain