suria

Ju Pha Mula Buru Tiket Ke Kejohanan Berbasikal Dunia Beijing

KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal negara, Ju Pha Som Net menjadikan Kejohanan Asia Tenggara Grand Prix (GP) 2013 di Velodrom Cheras di sini minggu depan sebagai medan bagi menempah tiket ke Kejohanan Dunia di Beijing, China, akhir bulan ini.

Ju Pha, 20 tahun berkata, beliau yakin dengan kemampuanya untuk mengutip mata secukupnya menerusi kejohanan itu sebelum layak beraksi ke Beijing.

"Saya fikir tidak akan berdepan dengan banyak masalah untuk mengatasi pelumba lain biarpun akan berdepan dengan beberapa pelumba luar negara pada saingan kedua yang akan bermula pada 8 Jun ini," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Pelumba berketurunan Siam itu berkata, beliau berpuashati dengan kejayaanya meraih dua pingat emas dari acara perlumbaan mata dan 'scratch' wania pada Ahad.

"Esok saya harap mampu meraih sebutir lagi pingat dalam acara 200m pecut bersama Fatehah Mustapa dan saya akan cuba buat yang terbaik," katanya.

Pada aksi sebelah pagi, Ju Pha memperolehi pingat emas pertama dalam acara 20km perlumbaan mata setelah mengutip 80 mata meninggalkan jauh rakan sepasukan, Lauretta Eva Adrian yang meraih pingat rerak setelah mengutip 33 mata.

Pingat gangsa bagi acara itu menjadi milik pelumba Akademi Serantau Ipoh, Noor Azian Maslin yang memperolehi 17 mata.

Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14 2011 itu turut beraksi cemerlang pada sebelah petang apabila meraih pingat emas dalam acara 10km perlumbaan scratch wanita apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 17:00.32s meninggalkan pelumba lain dengan kelebihan satu pusingan.

Pingat perak bagi acara tersebut menjadi milik rakan sepasukanya Lauretta manakala gangsa milik Noor Azian setelah tiga pelumba menarik diri di saat akhir. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain