suria

Terengganu Didenda, Isu TMJ Masih Menjadi Tanda Tanya

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dijatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM50,000 berdasarkan tindakan liar penonton-penontonnya pada perlawanan bertemu Selangor baru-baru ini.

Denda tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak selepas Mesyuarat Khas Ke-34 Jawatankuasa Tataterbit pada Khamis.

Taufik berkata, PBSNT didapati bersalah dengan tiga pertuduhan.

"Dengan faktor pengakuan salah oleh PBSNT, pihak Jawatankuasa Tatatertib bersetuju menjatuhkan denda sebanyak RM10,000, berdasarkan kod tatatertib 6.2.1, membaling objek, botol air, mercun serta menggunakan serpihan simen yang ada di dalam stadium kepada penjaga garisan pada minit ke-89 permainan sekali gus terpaksa memberhentikan perlawanan selama 4 minit.

"Pertuduhan kedua, berdasarkan kod 19.7 (kesalahan ulangan) Terengganu dikehendaki membayar sebanyak RM20,000 kerana kesalahan sekali lagi membaling objek pada masa tambahan (minit ke-92), dan penyokong-penyokong juga turut membaling serpihan simen kepada pengadil yang sama.

"Manakala pertuduhan ketiga berdasarkan aspek keselamatan dan didenda RM20,000.

"Denda ini adalah paling minimum dan Terenggau tidak dibenarkan membuat rayuan. Mereka juga turut diberi amaran keras dan sekiranya berlaku lagi, Jawatankuasa Tatatertib akan mengambil tindakan mengosongkan stadium pada perlawanan seterusnya tanpa penyokong," jelasnya kepada media.

Sementara itu Taufik juga berkata, pihaknya turut membincangkan mengenai isu pemain ATM dan Selangor yang terlibat dalam pergaduhan pada aksi Piala FA Januari lalu.

"Bilangan pemain yang terlibat agak ramai, pertuduhan yang akan dibuat dan ia mengambil masa untuk siasatan. Bagaimanapun, kami akan tetap mengambil tindakan.

"Selain itu juga kami ada membincangkan insiden penyokong merampas kembali kain rentang yang diturunkan polis bantuan ketika perlawanan Johor dengan Felda di Stadium MBPJ dalam aksi Liga Super baru-baru ini. Kita akan buat pertuduhan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengenai tindakan penyokongnya memasuki trek di dalam stadium tersebut.

"Selain itu, isu mengenai Presiden PBNJ,Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat kenyataan mengenai sistem pengadilan baru-baru ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen setakat ini memandangkan ia masih lagi dikaji dan diselidik.

"Saya gerenti keputusan akan diketahui tidak lama lagi. Walaupun keputusan sudah dibuat, tetapi kami tidak boleh mengumumkan lagi di atas beberapa faktor bukti dan lain-lain," katanya penuh teka-teki.

Sebelum ini, Tunku Ismail telah meluahkan perasaan tidak berpuas hati mengenai mutu pengadilan Liga Malaysia yang ditakrif berada di tahap amatur dan tidak berkualiti.

Artikel Lain