suria

Zainal Nafi Dakwaan Seleweng Wang Majlis Paralimpik Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin menafikan beliau terlibat dalam dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM4 juta milik badan induk sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu.

Beliau menganggap fitnah ke atas dirinya itu ditimbulkan pihak tertentu yang berkepentingan bagi menggugat kedudukannya sebagai peneraju MPM.

"Individu terbabit sengaja memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai tentang pengurusan kewangan MPM dan merosakkan imej serta nama baik MPM sebagai badan induk yang bertanggungjawab membela kebajikan atlet paralimpik di negara ini," katanya kepada Bernama di sini.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai pelaburan wang RM4 juta oleh MPM ke dalam sebuah syarikat pengurusan acara, Paralimpik Ventures Sdn Bhd (PVSB) yang diterajui Zainal dan dua anaknya, Idi Irwan dan Ilia Ikhwan.

Laporan itu menyebut wang berkenaan dipindahkan sebanyak dua kali iaitu pada 4 April dan 17 April 2008 manakala cek pemindahan tersebut ditandatangani Zainal sendiri dan Bendahari MPM ketika itu, Liew Yoon Loy.

Sebuah akhbar harian dalam laporannya sebelum ini, turut menyatakan bahawa wang RM3.8 juta daripada pelaburan sebanyak RM4 juta dalam PVSB dihapuskira disebabkan pelaburan berkenaan 'tidak dapat diperoleh balik'.

Dengan memetik minit mesyuarat agung tahunan MPM, laporan tersebut menyatakan bahawa majlis itu menerima sepucuk surat daripada PVSB di mana PVSB komited membayar balik RM200,000 termasuk faedah lima peratus, menjelang Mac tahun lepas.

MPM kemudian menerima sepucuk lagi surat pada Ogos lepas di mana surat itu menyatakan baki RM3.8 juta lagi akan dibayar menjelang 2014.

Bagaimanapun, pada mesyuarat agung MPM pada September tahun lepas, lembaga eksekutif majlis itu memutuskan untuk menghapus kira sejumlah RM3.8 juta dan ini akan ditunjukkan dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Zainal berkata dakwaan tersebut sebenarnya tidak berasas kerana wang berkenaan digunakan untuk tujuan pelaburan bagi menambah dana MPM yang tenat pada pada 1990-an.

Sebelum ini, MPM bergantung sepenuhnya peruntukan yang tidak seberapa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil alih pada 2006.

Keadaan itu menyebabkan MPM terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos program dan aktiviti membabitkan atlet paralimpik negara yang disusun setiap tahun.

"Untuk mendapat dana tambahan, exco MPM ketika itu sebulat suara menubuhkan anak syarikat dengan nama Paralimpik Ventures Sdn Bhd bagi mencari keuntungan dengan modal sebanyak RM4 juta yang dikumpul hasil perbelanjaan berhemah yang dilakukan MPM sebelum ini dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS)," katanya.

Zainal berkata apa yang dirancang, bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila PVSB gagal memberi pulangan keuntungan seperti yang disasarkan berikutan kemelesetan ekonomi dunia pada 2008.

Beliau berkata PVSB pernah menyumbang keuntungan tunai sebanyak RM700,000 kepada MPM bermula tahun 2000 dan ini membuktikan bahawa anak syarikat milik MPM itu menjalankan perniagaan yang mendatangkan keuntungan.

Beliau berkata pihaknya sering menghantar laporan kewangan tahunan MPM dan PVSB kepada PPS pada setiap tahun dan menafikan dakwaan bahawa wang RM4 juta yang dilaburkan MPM itu adalah lebihan peruntukan yang disediakan untuk penganjuran Sukan FESPIC Kuala Lumpur 2006. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain