Anuar Bakal Sertai Baku Cycling Project - Sukan | mStar

Anuar Bakal Sertai Baku Cycling Project

PUTRAJAYA: Teka-teki mengenai pasukan yang bakal disertai pelumba pecut negara, Anuar Manan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) terjawab apabila beliau memilih menyarung jersi benua Azerbaijan, Baku Cycling Project.

Ketua pegawai operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata, pelumba berusia 26 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu telah menandatangani kontrak dengan pasukan itu.

"Sudah pastinya, beliau adalah antara pelumba yang dinanti-nantikan oleh peminat acara berbasikal di negara ini," katanya di sini, Isnin.

Sebelum ini, Anuar dilaporkan tidak menyambung kontrak bersama Champion System kerana mahu menyertai semula pasukan yang pernah disertainya pada 2011, Terengganu Pro Asia Cycling Team yang kini dikenali sebagai Terengganu Cycling Team (TSG).

Bagaimanapun, TSG tidak memberi sebarang maklum balas terhadap hasratnya itu sehingga kini.

Untuk rekod, Anuar pernah melakar kejayaan terbaik dalam perlumbaan LTdL dengan meraih jersi biru selaku Raja Pecut pada 2010 ketika mewakili pasukan dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia.

"Kita berharap dengan pasukan yang baru, Anuar akan memberi saingan yang terbaik seperti tahun-tahun sebelum ini," kata Emir.

Anuar juga telah memohon kepada Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) untuk menjalani latihan di sini bersama-sama pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Emir turut mengumumkan dua lagi pasukan Pro Team yang bakal menghangatkan lagi saingan edisi ke-18 LTdL kali ini.

"Saya telah mendapat persetujuan daripada pasukan Omega Pharma dan Blanco. Sebelum ini telah umumkan tiga pasukan Pro Team iaitu Astana, Garmin Sharp dan Orica GreenEdge," katanya.

Omega Pharma Quick-Step Pro Cyling Team berpangkalan di Belgium manakala Blanco Pro Cycling Team atau dahulunya dikenali sebagai Rabobank, berpangkalan di Belanda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain