suria

Cub Prix: Fitri Mampu jadi Pencabar Utama Musim Ini

KUALA LUMPUR: Pengurus SCK Honda Racing, Soong Chee Kieong percaya Mohd Fitri Ashraff Razali mempunyai keupayaan menjadi pencabar utama untuk merebut gelaran juara kategori CP130 sebaik Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 membuka tirai Mac ini.

Sebagai pelumba termuda dalam pasukan, Fitri sudah membuktikan keupayaannya pada musim lepas walaupun sentiasa dibayangi tiga rakan sepasukan yang lebih senior iaitu Azlan Shah Kamaruzaman, Norizman Ismail dan Affendi Rosli.

Fitri berjaya menamatkan tiga perlumbaan dengan kemenangan podium di Banting pada Pusingan Keempat, (Teluk Intan – Pusingan 5), (Sepang – Pusingan 9) untuk menamatkan musim 2012 di tangga ketujuh keseluruhan.

"Fitri seorang pelumba yang cukup berbakat. Dia mempunyai ciri-ciri menjadi seorang juara. Dengan daya pemikiran dan juga jentera yang tepat, dia berpeluang cerah bersaing bagi merebut takhta keseluruhan CP130 tahun ini," kata Chee Kieong dalam kenyataan hari ini.

Pada penampilan pertama dalam kelas perdana sepanjang tahun lepas, pelumba berusia 18 tahun itu turut konsisten melayakkan diri ke sesi saringan 'Superpole' (10 pelumba terbaik Ujian Masa) di samping melakukan catatan terpantas untuk bermula dari petak pertama pada pusingan kelapan di Melaka.

Lebih membanggakan, gabungan Fitri dan juara CP130 2012, Azlan Shah turut membantu SCK Honda Racing mengekalkan gelaran Anugerah Berpasukan Terbaik untuk dua tahun berturut-turut.

"Kami juga akan memberi lebih tumpuan kepada Fitri memandangkan hanya dia yang belum memenangi sebarang gelaran. Azlan sudah memenanginya pada tahun lepas manakala Norizman sudah memenangi dua gelaran pada 2005 dan 2011. Affendi pula memenangi gelaran lebih besar apabila muncul juara Underbone Kejuaraan Motosikal Asia Petronas pada 2009," kata Chee Kieong.

"Paling penting, kami percaya Fitri sendiri sudah cukup bersedia mengharungi cabaran pada musim ini. Dia mempunyai tahap disiplin dan keinginan yang cukup tinggi. Dia telah membuktikan sebelum ini di mana dengan bantuan rakan sepasukan dan juga krew, banyak peningkatan telah ditunjukkan.

"Namun begitu, bukan mudah menjadi juara terutama dengan peningkatan kemampuan jentera dan juga pelumba pasukan lain. Kami percaya Fitri sudah bersedia mengharungi segala halangan yang akan dihadapi nanti," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain