suria

Persatuan Sukan Terima Geran Bantuan Pentadbiran RM1.5 Juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 persatuan sukan menerima geran bantuan pentadbiran sejumlah RM1.5 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Selasa.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata geran tersebut yang pertama kali diperkenalkan adalah khas bagi membantu menguruskan pentadbiran persatuan berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama ini.

"Bagi jumlah bantuan geran seterusnya, MSN (Majlis Sukan Negara) akan memantau persatuan daripada segi prestasi, program dan pengurusan pentadbiran mereka.

"Kita hendak lihat bagaimana dana yang sedikit ini boleh dikembangkan untuk menjana sesuatu yang lebih besar, bukan sekadar untuk dihabiskan," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Geran Bantuan Pentadbiran Badan-badan Sukan Kebangsaan 2013 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini Selasa.

Antara wakil persatuan yang hadir termasuk dari Persatuan Badminton Malaysia, Persatuan Renang Amatur Malaysia dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia.

Masing-masing menerima RM40,000 hingga RM50,000 dan difahamkan geran tersebut diberi secara langsung daripada KBS, berasingan daripada dana sedia ada yang disalurkan menerusi MSN.

Selain itu Ahmad Shabery turut menyeru persatuan sukan supaya mengubah corak pentadbiran mereka kepada pentadbiran yang lebih berunsur korporat di samping menekankan nilai integriti.

Katanya persatuan sukan kini bukan sahaja membangunkan sukan malah menguruskan atlet yang merupakan aset negara dan seterusnya membentuk mereka untuk menjadi ikon masyarakat.

Sementara itu rata-rata wakil persatuan sukan yang ditemui Bernama memberi reaksi positif terhadap bantuan tersebut.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bola Baling, Azizan Abu Bakar berkata dengan bantuan tersebut, pihaknya dapat menggunakan dana bagi pembiayaan pertandingan dengan sepenuhnya dan tidak lagi perlu dikurangkan untuk tujuan pentadbiran.

"Walaupun hanya bagi bahagian pentadbiran, tetapi bantuan ini akan memberi impak yang besar supaya persatuan ini dapat berkembang," katanya.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia, M. Suhaimi Zainuddin pula berkata persatuannya amat berterima kasih iatas apa jua bantuan yang diberikan KBS, bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jumlah yang diterima.

Katanya jumlah bantuan yang diterima agak kecil dan tidak seharusnya berbeza mengikut persatuan.

"Jumlah bantuan agak kecil dan diharapkan boleh ditambah pada waktu yang akan datang," katanya yang turut merayu KBS supaya memberi jumlah dana yang sama rata kepada semua jenis sukan supaya semua sukan menjadi setaraf. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain