suria

Lebih 1,200 Mahasiswa Sertai Perlumbaan Bot Varsiti 2012

KUALA LUMPUR:Lebih 1,200 mahasiswa tempatan dan antarabangsa akan menyertai kejohanan Perlumbaan Bot Varsiti 2012 dari 16 hingga 21 Okt ini di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata edisi ketujuh kejohanan itu akan disertai oleh 12 pasukan universiti antarabangsa, 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dan tiga IPT swasta tempatan.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberi mandat kepada UTM untuk menjadi peneraju kepada sukan air. Pada Sukan SEA tahun lepas, pasukan kayak negara berjaya membawa pulang pingat gangsa dan kita mahu mengambil inisiatif ini untuk meneruskan kejayaan hingga di peringkat yang lebih tinggi.

"Jumlah penyertaan memang sentiasa meningkat sehingga kita terpaksa hadkan dan tarikh tutup adalah dua minggu sebelum hari kejohanan," katanya pada sidang media di Bangunan UTM, di sini, Rabu.

Dua kategori dipertandingkan iaitu lima acara bagi Rowing dan lima acara bagi Kayak.

"Kita juga akan menganjurkan kategori Bot Tradisional Terbuka lelaki dan wanita yang akan disertai oleh agensi kerajaan dan sekolah di sekitar Putrajaya," katanya.

Antara universiti antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan ialah The University of Nottingham, United Kingdom, The Chinese University Of Hong Kong, The Antonio University of Manila, Chiang Mai University, Thailand dan Universiti Pendidikan Indonesia.

Pada edisi 2011, pasukan Universiti Pendidikan Indonesia menjadi juara keseluruhan bagi kategori Kayak dan Rowing. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain