suria

Usaha Lahir Atlet Negara Bukan Hanya Banyakkan Pusat Kemudahan Sukan - Razali

MUAR: Program pembangunan sukan perlu diberikan lebih tumpuan kerana ia adalah elemen penting dalam melahirkan atlet yang boleh diketengahkan pada kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata program pembangunan sukan itu termasuklah menghantar atlet menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi sesuatu temasya sukan antarabangsa itu.

Beliau berkata usaha melahirkan lebih ramai atlet negara tidak akan berjaya dengan hanya memperbanyakkan pusat kemudahan sukan.

"Pembinaan pusat kemudahan sukan hanya mewakili satu pertiga daripada usaha itu (melahirkan atlet negara) manakala selebihnya ditumpukan kepada program pembangunan sukan.

"Jika tidak disertai dengan program pembangunan sukan, kita hanya menjadi negara yang mempunyai banyak kemudahan sukan tetapi tidak dapat melahirkan atlet bertaraf dunia," katanya ketika ditemui selepas majlis Khatam Al-Quran Belia Kawasan Parlimen Muar di Masjid Jamek Kampung Parit Pali, Sungai Balang di sini, Khamis.

Razali diminta mengulas saranan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London, Pandelela Rinong supaya kerajaan membina lebih banyak kolam renang dan mendapatkan khidmat jurulatih baharu bagi pembangunan sukan itu.

Dalam pada itu, Razali menasihati golongan belia di negara ini agar tidak merasakan diri mereka diketepikan apabila kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan keluarga tidak bernasib baik.

Katanya belia perlu menjadi golongan yang mampu berdikari dan bukannya menjadi masyarakat yang suka meminta-minta kerana banyak agensi kerajaan termasuk kementerian kini menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.

Pada majlis itu, Razali turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM13,000 kepada 13 persatuan belia di kawasan Parlimen Muar sebagai bantuan urusan pentadbiran.

Beliau turut menyampaikan duit raya kepada 500 OKU, balu dan anak yatim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain