suria

Penembak Elit Nur Ayuni Terlibat Jayakan Sukma Pahang Ke-15

KUANTAN: Penembak elit negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim gembira kerana dapat menyumbang tenaga sebagai pegawai teknikal di venue acara menembak Sukan Malaysia (Sukma) ke-15, yang bermula hari Isnin.

Nur Ayuni, 22, berkata ia merupakan satu penghormatan besar kepadanya kerana dapat terlibat buat pertama kali sebagai pegawai kejohanan dalam menjayakan Sukma Pahang.

"Pada kali ini saya bukan sebagai atlet Pahang disebabkan faktor had umur namun saya rasa gembira kerana dapat terlibat sama pada Sukma ke-15 sebagai pegawai teknikal berbekalkan pengalaman beraksi di kejohanan sebelum ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapang Sasar Menembak, Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), dekat sini Isnin.

Anak jati Kuantan itu menyifatkan penglibatannya itu sebagai satu cara membalas jasa baik kerajaan Pahang yang banyak membantunya sebelum ini.

"Saya terhutang budi kepada kerajaan Pahang yang banyak membantu saya sebelum bergelar atlet elit kebangsaan," katanya.

Nur Ayuni berkata pada masa ini, beliau tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan dan kelapangan tersebut digunakan untuk bersama keluarganya di sini.

Kali terakhir Nur Ayuni mewakili Pahang pada Sukma ialah di Melaka dua tahun lepas apabila berjaya menyumbang dua pingat emas menerusi acara 50m rifle 3 position wanita berpasukan dan kategori individu acara sama.

Kejayaan terbesar Nur Ayuni ialah ketika beraksi di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India apabila beliau bersama Suryani Mohd Taibi meraih emas dalam acara 10m raifal berpasangan wanita. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain