suria

Musa Minta Safa Kaji Menyeluruh Prestasi Sabah Dalam Liga Super

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengarahkan pihak pengurusan pasukan bola sepak Sabah supaya membuat kajian menyeluruh berhubung kemerosotan prestasi pasukan itu sejak kebelakangan ini.

Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkata, kajian itu penting bagi mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan.

"Saya sendiri amat sedih selaku Presiden Safa...nampaknya mutu permainan kita menurun. Kita tidak tahu mengapa?c Bagaimanapun, saya telah meminta pihak pengurusan supaya membuat satu kajian terperinci mengenai perkara ini.

"Saya telah meminta pihak pengurusan khususnya Timbalan Presiden Safa, Datuk Lawrence Gimbang supaya membuat kajian secara teliti apa sebabnya dan di mana silapnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri siri akhir perjumpaan khas ketua-ketua masyarakat Zon Pantai Barat Utara iaitu Tuaran, Kota Belud dan Ranau di Dewan Seri Sulaman, di sini Khamis.

Musa diminta mengulas perkembangan terkini skuad bola sepak negeri selepas pasukan Lions XII dari Singapura membelasah Sabah 9-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura minggu lepas.

Musa, bagaimanapun yakin pasukan Sabah mampu memperbaiki mutu permainan dan 'cuma mengambil masa'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain