suria

Chong Wei Jalani Latihan Intensif Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, akan mula menjalani latihan intensif minggu depan setelah hampir pulih daripada kecederaan kaki yang dialami ketika menyertai Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China pada bulan lepas.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata beliau kini hanya menjalani latihan ringan sejak tiga minggu lepas di Stadium Juara, Bukit Kiara bagi memastikan proses pemulihan kakinya berjalan lancar.

"Saya tidak boleh kata kecederaan kaki saya sudah pulih sepenuhnya namun saya harap mampu kembali ke gelanggang untuk menjalani latihan intensif kerana tempoh masa ke Sukan Olimpik London makin dekat," katanya pada sidang media bagi menjelaskan perkembangan kecederaan kakinya di sini, Rabu.

Ditanya mengenai persediaan untuk menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu yang hanya tinggal 37 hari lagi, Chong Wei berkata beliau akan menyertai latihan fasa terakhir skuad badminton negara di Bath University, United Kingdom (UK) pada 12 Julai.

"Kami akan turut disertai rakan sparring seperti Chong Wei Feng, Kwong Beng Hong dan Liew Daren serta dua ahli fisioterapi daripada ISN," katanya.

Chong Wei berkata beliau akan mendapatkan nasihat daripada pakar psikologi sukan dari Sarawak, Frederick Tan bagi memastikan mental dan emosi tidak terganggu dalam menghadapi Sukan Olimpik London.

Ditanya mengenai tekanan beberapa pihak yang masih menyandarkan harapan kepada beliau untuk meraih pingat emas pertama Olimpik untuk negara, Chong Wei berkata beliau akan berusaha mempamerkan persembahan terbaik pada temasya sukan itu nanti.

"Saya tahu semua orang mengharapkan saya membawa pulang pingat emas pertama Olimpik untuk negara namun apa yang saya boleh katakan saya akan cuba beri persembahan terbaik," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 itu.

Skuad badminton negara akan berkampung selama 13 hari di Bath University, yang terletak di Somerset, 156km dari London sebelum dijangka berlepas ke ibu kota UK pada 25 Julai.

Upacara pembukaan Sukan Olimpik London dijadualkan berlangsung di Olympic Stadium pada 27 Julai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain