suria

MTA Serah Perintah Bertulis Mahkamah Kepada PPS

KUALA LUMPUR: Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), Selasa, menyerahkan perintah bertulis Mahkamah Tinggi berhubung statusnya sebagai badan induk tunggal sukan tersebut di negara ini kepada Pejabat Pesuruhanjaya Sukan (PPS).

Presiden MTA Raja Taharuddin Raja Nong Chik berkata pihaknya telah menerima perintah bertulis mahkamah tersebut pada 6 Jun lepas dan menyerahkannya kepada Pesuruhanjaya Sukan Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh dalam satu pertemuan hari ini.

"Kita telah serahkan perintah bertulis itu berserta surat dari persatuan dan salinan rasmi keputusan mahkamah yang kita terima," katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama PPS di Bukit Jalil.

Raja Taharuddin berkata MTA telah beroperasi semula selepas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman pembatalan pendaftaran dan memberi perintah 'certiorari' pada 4 April lepas.

Sementara itu Mohd Yassin ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya masih menunggu penghakiman bertulis dari Mahkamah Tinggi dan akan merujuk Peguam Negara berhubung status MTA.

Dalam tempoh MTA dibatalkan pendaftarannya, tugas menyelia dan menghantar atlet taekwondo ke luar negara dilakukan Taekwondo Malaysia (TM) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Krisis kepimpinan badan induk taekwondo itu dijangka berpanjangan selepas Tunku Imran dilapor berkata TM masih menjadi badan induk sukan tersebut walaupun selepas MTA dihidupkan semula berdasarkan keputusan mahkamah tinggi berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain