suria

Atlet Angkat Berat Dakwa Tidak Terima Surat MOM, Nafi Hilangkan Diri

ALOR SETAR: Atlet angkat berat negara yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA di Indonesia tahun lepas, Firdaus Abdul Razak berkata beliau enggan menghadiri sesi pendengaran khas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana mendakwa tidak menerima surat rasmi.

Atlet itu juga melahirkan rasa kecewa dengan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang didakwanya tidak menghantar surat kepadanya mengenai pendengaran itu yang dijadualkan pada Isnin.

"Saya akan hadir membela diri dan membersihkan nama saya yang tercemar sekiranya mendapat surat rasmi, bukan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Setiausaha Agung PABM, Ismail Khamis, Jumaat lepas meminta saya hadir di pejabat MOM di Kuala Lumpur, Isnin.

"Saya enggan hadir kerana ia mungkin khabar angin. MOM atau PABM seharusnya menghantar surat rasmi," kata Firdaus kepada pemberita semasa ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pagi Selasa.

Dalam laporan polis, atlet itu menyatakan beliau tidak menerima surat dari MOM dan PABM dan beliau tidak menghilangkan diri kerana tidak menghadiri pendengaran tersebut.

Atlet itu yang menjalankan perniagaan gimnasium di Pekan Simpang Kuala di sini berkata beliau juga terkilan dengan Naib Presiden PABM, Zainuddin Rashidi yang menghantar SMS kepadanya pukul 10.55 pagi Selasa meminta alamatnya untuk menghantar surat rasmi supaya menghadiri pendengaran itu.

Firdaus yang memenangi pingat gangsa kategori 105 kilogram pada Sukan Sea Indonesia tahun lepas disahkan menggunakan bahan terlarang oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (Inosac) Disember tahun lalu.

Beliau turut mempersoal cara PABM membela kebajikan atlet di bawah naungan badan itu khususnya kes membabitkan dirinya.

Beliau juga ingin menyoal kenapa jurulatih kebangsaan dari China, Lim Zin Hui yang bertanggungjawab menjelaskan isu ini mendiamkan diri dan tidak dipanggil memberi penjelasan mengenai dua jenis ubat yang diberikan kepada atlet sebelum mereka berlepas ke Indonesia November tahun lepas.

Firdaus berharap PABM meneliti isu doping ini dan jika perlu mengeluarkan surat menyatakan sebab beliau dikenakan tindakan dan digantung menyertai sebarang sukan angkat berat dalam tempoh tertentu agar isu ini tidak tergantung.

Pada Isnin, dua atlet ke Sukan SEA Indonesia disahkan positif dadah hasil ujian doping yang dijalankan.

Selain Firdaus, seorang lagi ialah atlet 4x400 meter, Mohd Yunus Lasaleh.

Kedua-dua atlet itu diminta hadir ke pejabat MOM untuk memberi keterangan sebelum satu laporan boleh dihantar kepada Inasoc bagi memutuskan status pingat yang dimenangi kedua-dua atlet tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain