suria

Alonso, Perez Curi Tumpuan Di Litar Antarabangsa Sepang

Perez (kiri)meraikan kejayaan di atas podium bersama juara GP Malaysia Petronas 2012, Alonso. Foto: EPA
Perez (kiri)meraikan kejayaan di atas podium bersama juara GP Malaysia Petronas 2012, Alonso. Foto: EPA
Perez (kiri)meraikan kejayaan di atas podium bersama juara GP Malaysia Petronas 2012, Alonso. Foto: EPA

HUJAN lebat menjadi hari bertuah buat pasukan Ferrari selepas pemandunya, Fernando Alonso menguasai Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan dinobatkan sebagai juara Grand Prix Malaysia Petronas musim ini.

Setelah bergelut dengan saingan sengit pada sesi latihan serta pusingan kelayakan, Alonso hanya bermula di petak kelapan mengambil peluang dengan meninggalkan pencabar lain selepas perlumbaan dihentikan lebih kurang 51 minit gara-gara hujan lebat yang melanda litar itu.

Alonso yang turut meraih juara pada edisi 2007 ketika itu dia bersama pasukan McLaren berjaya mengetepikan ramalan peminat pemotoran yang lebih tumpuan kepada Lewis Hamilton (McLaren) setelah menguasai litar sesi latihan serta pusingan kelayakan Sabtu lalu.

Hamilton memulakan perlumbaan di petak pertama gagal menggunakan peluang itu untuk menepiskan pecutan Alonso sekali gus menduduki tempat ketiga, sama seperti aksi di Melbourne minggu lalu.

Dengan kemenangan ini, Alonso berada di ranking teratas kedudukan pemandu dengan mengutip 35 mata, diikuti Hamilton 30, Jenson Button (25) dan Mark Webber (24).

Turut menjadi tumpuan pada edisi ke-14 perlumbaan tahun ini ialah pemenang di tempat kedua, Sergio Perez (Sauber) yang mengekori rapat Alonso pada pusingan lima terakhir.

Perez menjadi pelumba pertama Mexico yang menaiki podium dalam tempoh 41 tahun sekali gus menjadikan pemilik pasukan ini, Peter Sauber begitu teruja meraikan kejayaan pasukan itu.

Pelumba berusia 22 tahun ini memulakan perlumbaan di petak kesembilan terpaksa mengharungi perlumbaan dalam keadaan hujan sebelum aksi dihentikan seketika.

Selepas pusingan kelapan, Perez berada di barisan depan sebelum Alonso memintasnya pada pusingan ke-17.

“Sebelum beraksi perlumbaan saya menghadapi sedikit masalah di selekoh kerana litar basah dan hilang kawalan sekali gus impian untuk mencatat sejarah selaku juara musnah.

“Pun begitu kejayaan di tempat kedua ini merupakan satu usaha terbaik untuk pasukan. Mereka memanggil saya pada tepat masanya. Keadaan perlumbaan ini agak sukar untuk mengekalkan prestasi di litar, namun sebaliknya berlaku dan ia sungguh luar biasa,” jelas Perez selepas perlumbaan.

Perez memulakan aksi pada perlumbaan Formula Satu bersama Sauber pada tahun 2011 menggantikan Nick Heidfeld di GP Australia dan mencatat kedudukan keseluruhan musim lalu di tempat ke-14.

Pada aksi pembukaan di Australia minggu lalu, Perez menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Selain itu, dalam kategori pengeluar jentera pula, McLaren masih mengekalkan penguasaan mereka dengan 55 mata mengatasi Red Bull (42), Ferrari (35) dan Sauber (30).

Manakala juara dunia 2010 dan 2011, Sebastian Vettel (Red Bull) gagal menyumbang sebarang mata selepas hanya mampu menduduki tempat ke-11 kerana terlibat dalam kemalangan.

Artikel Lain