suria

FAM Tidak Sekat Pegawai Tegur Prestaso Pasukan Bola Sepak

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menyekat mana-mana pihak terutamanya pegawai dan ahli majlisnya menegur prestasi pasukan skuad bola sepak asalkan ia pandangan yang membina.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, adalah lebih baik teguran itu disampaikan dengan cara yang lebih berhemah, tanpa perlu isu itu disensasikan secara berlebihan.

"Semanis-manisnya kritikan dan pandangan itu lebih baik disampaikan dalam mesyuarat dan perbincangan terlebih dahulu perlu diadakan sebelum menyuarakan sebarang pandangan terhadap prestasi pasukan bola sepak kebangsaan.

"Segala teguran adalah sangat subjektif kerana kadang-kadang satu pihak kata sesuatu pandangan itu tak begitu membina dan satu pihak kata sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan terhadap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) oleh beberapa badan korporat di Istana Abdul Aziz, di sini, Isnin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa dikatakan telah mengkritik dan meragui kemampuan skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K.Rajagopal untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 pada hujung tahun ini berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah mengharapkan isu tersebut tidak diperbesar-besarkan dan disensasikan lagi sebaliknya fokus kepada impian dan harapan untuk menaikkan mutu sukan bola sepak di negara ini.

"Saya tak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana bila kita suarakan kadang-kala ada yang sensitif dan seelok-eloknya kita kurangkan perkara sebegini.

"Apa yang pegawai kata tidak penting, yang mustahaknya pasukan dan pemain itu sendiri perlu buktikan kemampuan mereka beraksi di atas padang," titahnya.-BERNAMA

Artikel Lain