suria

Kejadian Lampu Padam Ketika Perlawanan Memalukan: Ahmad

KUALA TERENGGANU: Kejadian lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah terpadam kira-kira setengah jam ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Terengganu menentang Kedah malam tadi tidak sepatutnya berlaku.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kejadian itu amat memalukan kerana ia membantutkan perlawanan yang sedang berlangsung.

"Kejadian lampu terpadam ketika perlawanan berlangsung amat memalukan dan saya amat tidak berpuashati dengan kejadian itu.

"Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab sama ada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) atau Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) atau pihak-pihak yang berkenaan memaklumkan masalah sebenar kepada kita (kerajaan negeri) supaya kita boleh mengatasinya," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Ahmad berkata sehingga kini pihak yang bertanggungjawab terhadap stadium itu langsung tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah lampu limpah di stadium itu yang berlarutan sejak sekian lama.

"Kalau kita tahu apa masalah sebenarnya, boleh kita cari jalan menanganinya. Kalau FAM tetapkan limpahan cahaya lampu 800 lux, kita pasang 900 lux, kalau mahu ikut peringkat antarabangsa iaitu 1,200 lux, kita pasang 1,300 lux walaupun ia menelan belanja sehingga RM3 juta.

"Tapi kalau ia perlu pasang tiang dan kabel baru memerlukan RM3 juta, sedangkan kabel yang sedia ada kita sudah belanja RM1 juta. Kalau buat baru membazirlah. Susah-susah kita main siang saja," katanya.

Pada perlawanan semalam yang menyaksikan skuad penyu sekadar seri 1-1 menentang Kenari, stadium bergelap selama setengah jam sebaik separuh masa kedua bermula disebabkan kerosakan teknikal yang menyebabkan keempat-empat lampu limpah terpadam serentak.

Sebelum ini, FAM yang telah melakukan pemeriksaan di stadium itu mendapati perlawanan tidak sesuai diadakan pada waktu malam disebabkan bacaan pencahayaan di kesemua lampu sekadar mencatat bacaan 500 lux berbanding 800 lux jumlah maksimum yang ditetapkan.

Keadaan itu menjejaskan rentak permainan sekaligus menaikkan kemarahan kira-kira 8,000 penonton. Perlawanan juga ditamatkan lewat berbanding perlawanan yang berlangsung di tempat lain.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain