Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua Kejohanan Dunia - Sukan | mStar

Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Wembley, London, selepas mengalahkan pemain bukan pilihan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand 21-15 21-17 pada Isnin.

Pada pusingan kedua Chong Wei, pemain nombor satu dunia, akan bertemu pemenang antara Ville Lang (Finland) dan Dionysius Hayom Rumbaka (Indonesia).

Turut berjaya melangkah ke pusingan kedua ialah beregu lelaki negara, Mohd Zakry Latif/Hoon Thien How yang menumpaskan bekas juara 2005 Howard Bach dan Tony Gunawan dari Amerika Syarikat 21-17 21-14.

Mohd Zakry Latif/Hoon Thien How akan bertemu beregu nombor 10 dunia Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu dari China pada pusingan kedua.

Beregu wanita Ng Hui Ern/Ng Hui Lin turut mara ke pusingan kedua selepas mengatasi Anna Kobceva/Elena Prus dari Ukraine 21-14, 22-20.

Menanti Hui Ern/Hui Lin di pusingan kedua ialah Misaki Matsutomo/Takahashi Ayaka dari Jepun.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut melayakkan diri ke pusingan kedua selepas mengalahkan Lino Munoz/Cynthia Gonzalez dari Mexico 21-9, 21-5.

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying akan bertemu Nathan Robertson/Jenny Wallwork dari England pada pusingan kedua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Choon Han Pula Layak Ke Pusingan Kedua

Artikel Berkaitan

Artikel Lain