suria

Golf: Kenneth, Wei Chean Azam Pamer Persembahan Terbaik

KUALA LUMPUR: Pemain golf kebangsaan, Kenneth de Silva dan Tan Wei Chean berazam untuk mempamer aksi terbaik mereka pada edisi kedua Kejohanan Golf Piala Asean Etiqa 2011.

Kejohanan selama empat hari yang akan membuka tirainya esok itu akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara.

"Ini adalah tahun kedua saya sertai kejohanan ini dan saya berharap kami berdua akan dapat memberikan saingan yang kuat kepada peserta-peserta lain," kata Kenneth kepada Bernama selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan meraikan pemain-pemain kejohanan tersebut di KLGCC, malam Ahad.

Majlis itu turut dihadiri presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anuar Mohd Nor, setiausaha kehormat Persekutuan Golf Asean Datuk Mohamed Zain Mohamed Yusuf dan ketua pegawai eksekutif Etiqa Takaful Hans De Cuyper.

Menurut Kenneth, Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk meraih kemenangan walaupun menghadapi cabaran sengit peserta lain khususnya dari Singapura.

"Kami berharap dapat mengulangi kejayaan yang dicapai pada Kejohanan Golf Piala Malaysia Etiqa pada Mac lepas," katanya.

Para peserta termasuk juara bertahan Kejohanan Amatur Terbuka Negeri Sembilan Jerome Ng dari Singapura dan pemain amatur terkemuka Filipina Clyde Mondilla.

Edisi kedua kejohanan golf Piala Asean Etiqa itu akan disertai oleh pemain amatur terbaik dari enam negara Asean termasuk Malaysia.

Kejohanan dua pemain sepasukan itu menggunakan format permainan sama seperti yang digunakan dalam Kejohanan Golf Piala Dunia, di mana empat bola digunakan pada pusingan pertama dan ketiga sementara format foursomes (alternate shot) dimainkan pada pusingan kedua dan akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain