SEORANG wanita maut ketika menyertai aktiviti selaman skuba di perairan berhampiran Kampung Salang, Pulau Tioman.Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa Heng Jing Ying, 31, merupakan warganegara Malaysia yang menyertai program Aware Coral anjuran Tioman Dive Buddy Centre, Kampung Genting, dari 17 hingga 18 Julai. Menurutnya, pada 19 Julai, mangsa bersama sembilan lagi peserta, seorang jurulatih dan seorang 'dive master' menyertai aktiviti 'fun dive' di Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai."Sebelum menyelam, semua peserta diberi taklimat mengenai prosedur keselamatan serta penggunaan peralatan walaupun mereka merupakan penyelam berlesen," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Sharif Shai berkata, mangsa terpisah daripada kumpulan ketika berada pada kedalaman 17.6 meter, menyebabkan jurulatih menjalankan operasi pencarian.ARTIKEL BERKAITAN: Arus deras bawah laut cetus panik, penyelam warga Malaysia maut ketika menyelam di Indonesia"Selepas hampir 30 minit, mangsa ditemukan di dasar berpasir tidak jauh dari lokasi selaman," katanya.Dia berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebaik dibawa naik ke atas bot, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kampung Tekek sebelum disahkan meninggal dunia.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.Menurut Sharif Shai, hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah arterial gas embolism (AGE), iaitu keadaan apabila gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri.Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - The Star.