suria

Golf: Gulbis Dan Creamer Teruja Untuk Beraksi Dalam Sime Darby LPGA Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua pemain terkemuka dalam Persatuan Pemain Golf Profesional Wanita (LPGA), Natalie Gulbis dan Paula Creamer, tidak sabar-sabar untuk beraksi dalam kejohanan golf Sime Darby LPGA Malaysia yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober.

Kedua-dua pemain terulung dari Amerika Syarikat itu kini berada di Kuala Lumpur untuk lawatan rasmi lima hari ke Malaysia.

Dalam edisi sulung Sime Darby LPGA Malaysia tahun lepas, Gulbis berkongsi kedudukan ke-12, manakala Creamer pula tidak mengambil bahagian disebabkan kecederaan ibu jari.

"Sungguh bagus dapat bertanding sekali lagi tahun ini dan saya berasa lebih selesa dengan padang golf dan kawasan sekitarnya. Saya ternanti-nanti untuk datang semula ke sini Oktober ini," kata Gulbis, yang berharap dapat beraksi dengan lebih baik kali ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada klinik kejurulatihan bagi pemain Program Pembangunan Sime Darby LPGA Malaysia di lapang sasar Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini Jumaat. "Saya menempuh antara waktu yang sukar (tahun ini)... dalam masa 10 tahun sebagai pemain profesional dan banyak tugas perlu dilakukan (untuk bangkit semula)," kata Gulbis, yang ketika ini berada di ranking ke-102.

Sementara itu, Creamer, yang ketika ini berada pada kedudukan kesembilan dalam Ranking Golf Wanita Dunia (setakat 1 Ogos), sangat teruja untuk melakukan penampilan sulungnya di Malaysia.

"Saya sangat teruja untuk datang ke sini dan ini kali pertama saya berada di sini. Saya gembira apabila melihat padang golf hari ini, ia kelihatan hebat dan nampaknya seperti sesuai dengan permainan saya.

"Saya bermain dengan baik sejak beberapa bulan lepas, (namun) agak sukar selepas pulih daripada kecederaan," kata Creamer, yang menjadi pemain profesional pada 2005 ketika berusia 18 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain