suria

Enam Persatuan Sukan Belum Serah Senarai Atlet Ke Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Enam persatuan sukan kebangsaan masih belum menyerahkan nama atlet yang akan bertanding pada Sukan Sea ke-26 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, 11 hingga 25 November ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata enam persatuan itu melibatkan sukan akuatik, olahraga, angkat berat, bola tampar, petanque dan shorinji kempo.

Menurut Sieh pihaknya baru saja menerima borang daripada jawatankuasa penganjur temasya itu untuk mengisi nama atlet yang akan mengambil bahagian.

"Sehingga kini MOM telah selesai hampir 90 peratus proses penyenaraian atlet, tinggal enam persatuan sahaja yang belum menghantar senarai atlet mereka," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya persatuan-persatuan tersebut masih menjalankan proses pemilihan atlet dan mereka dikehendaki melaksanakannya sebelum 30 September ini, iaitu tarikh akhir borang itu perlu dikembalikan kepada pihak penganjur.

Selain itu, Sieh berkata dua ketua kontinjen negara akan membuat tinjauan persiapan di venue masing-masing iaitu Jakarta dan Palembang pada 18 Ogos ini.

Mereka adalah Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed yang dipilih sebagai ketua kontinjen ke Jakarta dan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Datuk Syed Mustaffa Syed Ali sebagai ketua kontinjen ke Palembang.

Pada edisi Sukan Sea kali ini Indonesia menganjurkan 43 jenis sukan termasuk enam sukan baru iaitu bridge, paragliding, sukan roller, shorinji kempo, vovinam dan mendaki.

Malaysia akan menyertai semua jenis sukan yang dipertandingkan kecuali gusti, lumba perahu tradisional, tenis lembut dan vovinam. - BERNAMA

Artikel Lain