suria

Bryan Tidak Gentar Hadapi Saingan Di Shanzhen

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Bryan Nickson Lomas berharap dapat membuktikan kemampuannya pada penampilan sulungnya ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 di Shanzhen, China, dari 12 hingga 24 Ogos ini.

Bryan, 21, berkata kebanyakan daripada peserta yang menjadi saingannya di Shanzhen adalah penerjun yang pernah mengambil bahagian bersamanya pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai pada 20 Julai lalu.

"Saya harap tidak akan berdepan dengan banyak masalah bila beraksi nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik dan berhati-hati ketika melakukan terjunan bagi mengurangkan kesilapan," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Bagaimanapun beliau tidak mahu meletakkan sasaran pingat memandangkan ini kali pertama beliau beraksi pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu selepas Olimpik.

Menurutnya Universiade merupakan kejohanan penting bagi dirinya sebagai persiapan awal mengenal pasti pesaing yang akan beraksi di Sukan Olimpik London pada 2012 nanti.

Kontinjen negara ke Universiade 2011 menyasarkan satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara terjun, renang, berbasikal dan menembak.

Pencapaian terbaik atlet negara ke temasya dwi-tahunan itu ialah pingat perak menerusi acara taekwondo yang disumbangkan oleh Chee Chew Chan pada edisi 2007 di Bangkok. - BERNAMA

Artikel Lain