suria

Rajagobal Pilih Muka Baru Untuk Skuad Piala Dunia

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan K. Rajagobal telah mengenal pasti beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia untuk diserap sebagai muka baru dalam skuad kelayakan Piala Dunia.

Rajagobal berkata beliau membuat percaturan itu kerana tidak mahu mengganggu persiapan skuad Olimpik di bawah kelolaan jurulatih Ong Kim Swee.

Sebelum ini, Rajagobal meminjam lapan pemain skuad Olimpik untuk mengukuhkan pasukan kebangsaan dalam beberapa perlawanan persahabatan seperti ketika menentang Hong Kong dan kelab Perancis Etoile FC yang berpangkalan di Singapura.

Mereka ialah Mahali Jasuli, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Fakhri Shaarani dan Faizal Abu Bakar.

"Berkemungkinan besar saya tidak akan mengambil pemain tersebut bagi memberi laluan kepada skuad Olimpik membuat persiapan sendiri untuk menghadapi perlawanan kelayakan Olimpik," katanya.

Mengulas mengenai pemain Liga Malaysia yang dikenal pasti, Rajagobal berkata beliau akan mengumumkan nama mereka minggu depan.

"Saya tidak mahu mengumumkan nama pemain itu sekarang kerana mahu melihat sejauh mana konsistensi mereka. Sekiranya saya umum sekarang mereka mungkin tidak menunjukkan prestasi terbaik.

"Saya harap mereka mampu memikul tanggungjawab perlawanan saingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan nanti untuk layak ke saingan seterusnya,"

Malaysia yang diundi menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia akan menerima kunjungan negara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun, sebelum bertandang ke Taiwan untuk perlawanan timbal balik pada 3 Julai.

Sekiranya berjaya melepasi Taiwan, skuad bimbingan Rajagobal itu akan menentang Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai, manakala perlawanan timbal balik dijadual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM Datuk Subahan Kamal berkata skuad kebangsaan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Hong Kong pada 3 Jun, dan Myanmar pada 18 Jun.

Pertemuan dengan Hong Kong akan berlangsung di sana, manakala perlawanan dengan Myanmar akan berlangsung di sini, katanya.

"Kita juga bercadang mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan pada 24 Jun sebelum Kelayakan Piala Dunia pada 3 Julai tetapi ia masih belum diputuskan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain