suria

Kim Swee Akan Pilih 25 Pemain Menentang Lubnan

PETALING JAYA: Lima pemain berpotensi masih berpeluang untuk mewakili skuad bola sepak Olimpik negara pada kelayakan kedua bola sepak Sukan Olimpik 2012 London menentang Lubnan di Stadium Sport City, Beirut pada 19 Jun nanti.

Jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee berkata beliau telah menyenaraikan 20 pemain bagi skuad Olimpik negara dan nama lima lagi pemain akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

Pemain yang terpilih akan dibawa ke Qatar bagi menjalani latihan terakhir dan terbabit dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik tuan rumah Qatar, katanya dalam taklimat media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Selasa.

Beliau berkata pemain skuad Olimpik negara yang rata-rata beraksi dalam Harimau Muda A menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini.

"Setakat ini kita hanya kalah empat perlawanan itupun kalah kepada empat pasukan terkuat iaitu Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah. Saya rasakan ia bukan masalah buat pasukan kita dan kita yakin mampu beri saingan hebat," katanya.

Ong berkata beliau akan memperkemaskan barisan serangan dan pertahanan bagi menghadapi pasukan Olimpik Lubnan yang dianggap 'favorite' dalam kelayakan kedua Olimpik.

"Saya akui kita tidak punyai penyerang bawah 22 tahun yang begitu bersinar dan saya mengharapkan dua penyerang iaitu Mohd Fakhri Shaarani dan Syahrul Azwari Ibrahim dalam skuad Olimpik menjaringkan gol.

"Saya perlu pastikan mereka cergas dalam perjalanan ke saingan kedua Olimpik nanti disamping memikir strategi baru dalam memperkemaskan barisan pertahanan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM Datuk Subahan Kamal pula berkata skuad Olimpik negara akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Kemboja di Phnom Penh pada 7 Jun dan dengan skuad Olimpik Qatar di Stadium Al Saad pada 13 Jun sebelum beraksi dalam saingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lubnan.

Skuad negara dijangka pulang ke tanah air pada 20 Jun dan menanti kedatangan lawan di ibu negara pada 23 Jun.

Pasukan negara Timur Tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaian pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.

Skuad kebangsaan bimbingan Ong melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Barisan 20 pemain skuad Olimpik negara:

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Muhammad Zamer Selamat, Mahali Jasuli, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim, Mohammad Amer Saidin, Mohamad Fandi Othman, Mohd Affizie Faizal Mamat, Mohd Zubir Mohd Azmi, Faizal Abu Bakar, Mohd Irfan Fazail, Abdul Shukur Jusoh, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Fakhri Shaarani.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain