suria

Malaysia Tuan Rumah Kejohanan Boling Komanwel Kelima

PETALING JAYA: Malaysia akan menjadi tuan rumah edisi ke-lima Kejohanan Boling Komanwel yang akan berlangsung dari Isnin ini hingga 27 Februari di Sunway Pyramid di sini.

Pemain boling negara yang terdiri daripada Adrian Ang, Zulmazran Zulkifli, Siti Safiyah Amirah dan Zandra Aziela akan bersaing dengan pemain boling dari 16 negara Komanwel seperti England, Australia dan India untuk merebut pingat dan Trofi Triple Diamond CTBF (Persekutuan Tenpin Boling Komanwel).

Timbalan Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim berkata negara India seharusnya menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun lepas, tapi ia ditangguhkan ekoran masalah kemudahan, dan Malaysia kemudiannya menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

"CTBF yakin dengan kemampuan Malaysia menjadi ruan rumah kejohanan. Lagipun MTBC yang sebelum ini pernah menjadi hos acara boling Sukan Komanwel 1998 dan Kejohanan Dunia WTBA (Persatuan Tenpin Boling Dunia) pada 2003, sudah pernah menunjukkan kepakaran dalam menganjur kejohanan besar," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Tenpin boling diperkenalkan buat kali pertama dalam Sukan Komanwel pada 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu, tapi tidak menganjurkan kejohanan berikutnya.

CTBF kemudiannya dibangunkan di Stirling, Scotland pada 2002 dengan fokus utama menganjurkan Kejohanan Tenpin Boling Komanwel secara dwi-tahunan, di samping membangun dan mempromosi sukan itu di negara-negara Komanwel.

Stirling turut menganjurkan kejohanan sulung pada tahun yang sama, diikuti dengan Paphos, Cyprus (2004), Melbourne, Australia (2006) dan Belfast, Ireland (2008).- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain