suria

Raja Muda Cadang Badan Pemikir Khas Untuk Lahirkan Jagoan Sukan

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan Kementerian Pelajaran membentuk badan pemikir khas bagi membantu melahirkan jagoan sukan negara berprestasi tinggi.

Titah baginda, badan pemikir itu perlu merangkumi wakil daripada pelbagai badan sukan bagi membuat perancangan lengkap, rapi dan terancang sejajar dengan visi melahirkan "jagoan sukan untuk negara", bermula dari sekolah rendah.

Bertitah merasmikan Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (PSKPP) kali ke-38 di sini malam tadi, baginda berharap Kementerian Pelajaran memberi insentif khas kepada para pelajar terpilih untuk digilap menjadi jagoan negara ini.

Antara insentif itu termasuk biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya kerana langkah itu bukan sahaja dapat melahirkan jagoan sukan yang cergas fizikalnya, malah cerdas minda dan mempunyai daya fikir yang tinggi.

Raja Muda Perlis berharap agar sekolah sukan yang dicadangkan dibina di Perlis dipercepatkan sebagai langkah menggalakkan pembangunan sukan.

Sebanyak 2,165 peserta mengambil bahagian dalam pesta sukan dan kebudayaan selama enam hari itu bermula 18 Disember lalu. - BERNAMA

Artikel Lain